PETALING JAYA – Seorang pengawal keselamatan menemui sebuah bagasi berisi wang tunai berjumlah lebih RM500,000 di tempat letak kereta di sebuah pusat beli-belah di Damansara di sini pagi semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan dari pengawal keselamatan berusia 30-an itu semalam berkaitan penemuan bagasi berwarna merah jambu dan putih bersaiz sederhana pada jam 8 pagi.
Beliau berkata, pemeriksaan polis mendapati bagasi itu berisi wang kertas RM10, RM50 dan RM100 dengan jumlah keseluruhan melebihi RM500,000 dan dipercayai tulen.
Bagaimanapun, polis akan mendapatkan pengesahan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai wang itu.
Menurut Hussein, polis telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat beli-belah berkenaan, namun tidak meliputi lokasi bagasi ditemukan.
“Susulan itu, kita membuka kertas enkuiri polis berkaitan penemuan wang berkenaan,” katanya dipetik BERNAMA.
Hussien meminta mana-mana individu yang tertinggal bagasi berisi wang berkenaan tampil ke Balai Polis Petaling Jaya atau menghubungi talian 03-7966 2222 dengan membawa bukti-bukti berkaitan.
“Jika tiada mana-mana individu yang menuntut wang ini, kita akan serahkan kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!