BERITA UTAMA

Tiong sepatutnya desak lesen KK Mart digantung, bukan tuding jari salahkan Dr. Akmal – Dr. Puad

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Tiong King Sing tidak ada hak untuk mendesak UMNO menekan Ketua Pemudanya, Dr. Akmal Salleh dalam isu boikot KK Mart.

Bahkan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menegaskan, Tiong tidak ada hak menakut-nakutkan kononnya parti itu akan kehilangan sokongan rakyat.

“Jangan putar belitkan isu kalimah Allah sebagai isu kaum.

“Boikot bukan isu kaum. Sebab itu bila agensi umrah menipu walaupun ia milik orang Islam, agensi itu tetap diboikot. Tiada kompromi bab Islam.

“Tiong bawa naratif lapuk. Kononnya, ia merosakkan keharmonian rakyat, hilang peluang pekerjaan dan bawa kesan buruk pada ekonomi negara,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Semalam, Tiong menyeru kepimpinan UMNO tidak terus membiarkan Dr. Akmal memperbesar-besarkan isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Tiong berkata, UMNO perlu memandang serius tindakan Dr. Akmal dan tidak membiarkannya menggunakan platform Pemuda UMNO dan statusnya sebagai pemimpin untuk mengejar agenda peribadi.

“Saya lebih bimbang sekiranya pemimpin kanan UMNO tidak mempedulikan gelagat dan sikap Dr. Akmal selaku ketua Pemuda UMNO, maka ini akan mengakibatkan rakyat terus berpandangan negatif terhadap UMNO, malah tidak mustahil UMNO terus ditolak oleh rakyat yang cintakan keamanan, perpaduan dan dahagakan politik matang,” kata Tiong yang dipetik MalaysiaKini sebagai berkata.

Mengulas lanjut, Tiong juga menggesa Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh supaya bertindak tegas terhadap Dr. Akmal yang juga Exco kerajaan negeri itu.

Dr. Mohd Puad berkata, semua itu musnah sekelip mata jika pergaduhan agama tidak dikawal.

KK Mart, tegasnya, mesti bertanggungjawab dan mereka pihak terakhir menentukan produk itu terjual di premisnya.

Ujar beliau, Kementerian Pelancongan menggantung lesen syarikat Emraj Travel kerana menipu, kenapa Tiong tidak mendesak lesen KK Mart digantung sementara?

“Jangan main-main isu kalimah Allah,” tegasnya. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *