BERITA UTAMA

Benarkah Dr. Ammar dilantik penasihat kepada KSU Pelancongan?

KUALA LUMPUR – Selepas diturunkan pangkat dari Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr. Ammar Abd. Ghapar dikatakan diberi jawatan baharu sebagai penasihat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan.

Bagaimanapun, jika benar perkara itu berlaku, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang sentiasa mengikuti perkembangan isu pemecatan Dr. Ammar menyifatkan pentadbiran MoTAC sudah menjadi tunggang langgang.

Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, timbul pelbagai persoalan dengan perkara itu, antaranya bagaimana seorang Ketua Pengarah yang diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah, kemudian dilantik sebagai penasihat kepada KSU?

Syed Hassan Syed Ali

Katanya, agak pelik dengan keputusan itu apabila Menteri, Tiong King Sing sebelum ini menyatakan Dr. Ammar dipecat dari jawatan Ketua Pengarah kerana tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik.

“Tetapi, kenapa pegawai yang dituduh tidak “performed” dan tidak tahu buat kerja dilantik sebagai Penasihat kepada KSU Kementerian tanpa dinyatakan pangkatnya sama ada Jusa C, B atau A.

“Sedangkan, setakat ini Dr. Ammar masih lagi Jusa C selepas diturunkan pangkat dengan beberapa kemudahan ditarik termasuk pemandu.

“Jika masih Jusa C, mengapa pula diangkat sebagai penasihat kepada seorang KSU Kementerian grade Jusa A? Sepatutnya sebagai penasihat sudah tentu lebih hebat dari yang hendak dinasihatkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Syed Hassan, tatakelola dalam kementerian itu sudah tunggang langgang apabila orang yang bukan selayaknya seperti Tiong diangkat sebagai menteri.

Katanya, Perkasa mengikuti isu Dr. Ammar kerana terlihat berlaku penganiayaan terhadap pegawai Melayu yang telah lama berkhidmat dengan cemerlang dalam agensi Tourism Malaysia.

“Biar pun menteri mendakwa tiada unsur rasis dalam isu penurunan pangkat Dr. Ammar, tetapi dengan melantik Ketua Pengarah dan seorang lagi Timbalan Ketua Pengarah yang baharu di kalangan bukan Melayu sukar untuk Perkasa terima penafian menteri tersebut.

“Akhir sekali, Perkasa juga difahamkan Dr. Ammar telah menghantar surat   kepada KSU bagi mendapatkan kepastian mengenai jawatan terbaharu dan juga memaklumkan pendiriannya untuk memastikan mendapat keadilan selayaknya sebagai seorang penjawat awam.

“Untuk itu, beliau perlu dan sentiasa bertindak mengikut peraturan sepatutnya bagi menyelesaikan masalah kedudukannya dalam Tourism Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Perkasa akan terus memantau isu itu dan sentiasa berdiri teguh memberi sokongan kepada Dr. Ammar bagi mendapatkan haknya kembali. – NasionalDaily

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *