BERITA UTAMA

AGC belum buat keputusan representasi Inspektor Sheila untuk batal pertuduhan

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) belum membuat keputusan berhubung representasi yang difailkan pegawai polis berpangkat Inspektor dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ bagi membatalkan pertuduhan menyebabkan kegusaran awam di sebuah pusat beli-belah, Jun tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Hamizah Hisan memberitahu Majistret Illi Marisqa Khalizan representasi yang dikemukakan inspektor tular itu atau nama penuhnya Sheila Sharon Steven Kumar, 36, masih lagi dalam semakan AGC dan memohon tarikh perbicaraan ditetapkan sementara representasi itu diputuskan.

Hakim kemudiannya menetapkan 10 dan 11 Jun ini sebagai tarikh perbicaraan kes, manakala 16 Mei untuk sebutan bagi mengetahui perkembangan representasi berkenaan. 

Pada 8 November tahun lalu, Sheila, 36, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan mudarat awam dengan memarahi dan membunyikan hon kereta yang panjang atau lama serta menjerit di tempat kejadian sehingga menyebabkan kegusaran awam terhadap Nuraihan Nadzirah Ibrahim, 27.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Brickfields di sini pada jam 5.26 petang 16 Jun tahun lalu mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 290 kanun sama yang membawa hukuman denda maksimum RM400 jika sabit kesalahan.

Sementara itu, peguam M. Manoharan yang mewakili Sheila ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding berkata, sekiranya keputusan representasi memihak kepada anak guamnya pada 16 Mei ini, perbicaraan tidak akan dijalankan.

“Anak guam saya juga mempunyai satu lagi kes yang akan disebut di Mahkamah Majistret Selayang esok,” katanya. – BERNAMA

 

Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *