AMPANG JAYA – Seorang pemilik restoran disamun kira-kira RM300,000 oleh empat lelaki Afrika dalam urus niaga membeli jongkong emas di Taman Melawati, di sini, Jumaat lalu.
Mangsa berusia 27 tahun dan rakannya sebelum itu bertemu suspek wanita dan seorang lagi lelaki tempatan dipercayai bergelar Datuk untuk urus niaga pembelian emas di sebuah kedai kopi di Melawati Mall, sekitar jam 1 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa dan rakannya kemudian diarah menaiki sebuah kereta Proton Gen2 untuk mengambil jongkong emas berkenaan.
“Pengadu dan rakannya dibawa mengelilingi Melawati Mall sebanyak tiga kali sebelum dibawa ke Jalan G1 dan berhenti di tepi jalan.
“Di lokasi ini, tiba-tiba muncul empat lelaki Afrika sebelum seorang daripada mereka mengacu pistol dan menyembur serbuk lada ke arah mangsa.
“Suspek kemudian merampas beg mangsa mengandungi wang tunai RM300,000 dan melarikan diri dengan sebuah kereta lain,” katanya dipetik Berita Harian.
Mohd Azam berkata, bertindak atas laporan mangsa, Polis Daerah Ampang Jaya kemudian menahan suspek wanita yang berurusan dengan mangsa di Taman Melawati enam jam selepas kejadian.
“Hasil soal siasat, polis kemudian menyerbu satu unit kediaman di Arte Plus, Jalan Ampang dan menahan dua wanita tempatan sehari kemudian (Sabtu lalu) dipercayai turut terbabit dalam kes sama.
“Polis juga turut merampas kereta Proton Gen2 yang digunakan suspek,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini polis sedang memburu empat suspek Afrika dan lelaki bergelar Datuk yang masih bebas.
Katanya, mangsa mendakwa ini kali pertama berurusan dengan suspek terbabit untuk membeli jongkong emas dan hendak memperoleh keuntungan dalam kadar segera apabila harga emas naik.
“Tiga suspek wanita terbabit berusia 31, 54 dan 58 tahun kini direman sehingga Sabtu ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan bersenjata serta cuba menyebabkan kematian dan cedera parah.
Sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat. – NasionalDaily
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!