PADA 11 Mac 2024 hari Isnin yang lalu, sebelah petang sehari sebelum umat Islam di negara ini menyambut 1 Ramadan saya mendapat satu kiriman watsap dari seorang sahabat dari kampung. Kiriman watsap itu berbunyi, “bapa saudara saya Pak Anjang baru saja meninggal dunia”.
Dari kiriman watsap tersebut, saya menelefon pengirim watsap itu. Saya bertanya hal tentang kematian Pak Anjang tersebut. Beliau meninggal dunia pada usia 83 tahun.
Pak Anjang yang dimaksudkan tersebut ialah Tuan Abdul Majid Ismail. Tuan punya Toko AMI yang terletak di Pekan Semerah, Batu Pahat, Johor.
Bagi penduduk di Pekan Semerah, Pak Anjang dikenali sebagai tuan punya kedai menjual surat khabar, majalah dan alat tulis di pekan tersebut. Sebelum beliau berpindah ke kedai sekarang di depan pasar pekan Semerah kedainya di depan Pejabat Pos Semerah. Kedai beliau berpindah ke tempat sekarang apabila kedai di depan Pejabat Pos Semerah itu mengalami kebakaran.
Toko AMI memainkan peranan yang penting kepada kami pelajar sekolah di sekitar Pekan Semerah. Ini kerana dari kedai beliaulah kami mendapat bahan bacaan seperti surat khabar dan majalah.
Saya mula membaca surat khabar dan majalah bila saya mula bersekolah menengah. Terutamanya selepas saya menduduki tingkatan empat. Di kedai Pak Anjang inilah saya membeli surat khabar Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan Majalah Gila- Gila. Dari toko AMI inilah saya mula membina minat membaca dan menulis sajak.
Dari situlah saya mula membina hubungan yang agak akrab dengan beliau sehingga saya berhijrah ke Kuala Lumpur. Hampir setiap kali saya pulang ke kampung saya akan berkunjung ke kedai beliau untuk membeli surat khabar dan majalah.
Mungkin ramai yang terfikir apa menariknya kematian pemilik toko AMI ini untuk diperkatakan. Pada saya, tuan Abdul Majid Ismail ini punya sumbangan yang tersendiri dalam dunia politik dan sastera Malaysia.
Semasa era reformasi, segelintir sasterawan antaranya seperti Usman Awang, A. Samad Said, Dinsman, Muhammad Hj Salleh, Kemala, Baha Zain dan lain-lain telah menyumbang karya puisi menyokong DS Anwar Ibrahim yang dizalimi untuk diterbitkan. Penyelenggara antologi puisi tersebut ialah Usman Awang dan Dino SS.
Walaupun manuskrip tersebut telah sedia untuk diterbitkan, tetapi tiada penerbit yang berani menerbitkannya. Maklumlah ketika itu rejim zalim sedang bermaharaja lela. Tiada siapa yang ingin mengambil risiko menerbitkan antologi tersebut.
Pada suatu hari yang damai, ketua saya ketika itu Dr Anwar Ridhwan telah memanggil saya ke bilik beliau. Beliau telah mengeluarkan manuskrip dari sampul surat dengan judul ‘Dari Derita Bangsa’ dan menunjukkan kepada saya.

Sambil menghulurkan manuskrip tersebut kepada saya beliau berkata, “saya harap Hasni dapat usahakan menerbitkan manuskrip ini. Saya tahu Hasni boleh menerbitkannya”.
Dengan agak terpinga-pinga saya bersetuju menerima manuskrip itu untuk menerbitkannya. Saya membawa manuskrip tersebut berjumpa Sdr Adnan Majid untuk meminta beliau membantu menyemak manuskrip tersebut sebelum dicetak.
Sebelum manuskrip ‘Dari Derita Bangsa’ tersebut dicetak ISBN perlu didapatkan dari Perpustakaan Negara. Dengan halaman kandungan buku perlu ditunjukkan kepada mereka. Sebelum itu syarikat penerbitan perlu ada dan perlu dinyatakan sebelum halaman kandungan buku.
Saya mula terfikir siapakah yang ingin menerbitkan buku tersebut. Bila pulang ke Semerah saya membawa manuskrip tersebut dan berjumpa dengan tuan Abdul Majid Ismail dan berbincang supaya kami bersama-sama menerbitkan buku tersebut. Melalui anak beliau Sdr Abdul Ghaffar didaftarkan sebuah syarikat untuk menerbitkan buku itu.
Setelah syarikat didaftarkan dan pencetak ditemui untuk mencetak buku tersebut, kami sama-sama mendanai kos mencetak buku antologi puisi itu. Buku tersebut telah dicetak pada tahun 2001. Jumlah cetakannya sebanyak 1,000 naskah.
Apabila buku tersebut telah diterbitkan akhirnya pihak polis dapat mengetahui penerbitannya. Pihak polis telah mencari kedai di alamat di belakang kulit buku itu. Tetapi kedai tersebut tidak ditemui oleh pihak polis. Sebab kami menggunakan alamat kedai yang sudah ditutup.
Setelah sekian lama buku tersebut terbit akhirnya buku itu sampai juga ke tangan ketua regim. Dia sangat kecewa dengan penerbitan buku tersebut.
Demikianlah kisah tuan Abdul Majid Ismail pemilik Toko AMI. Sama ada sumbangan Allahyarham penting atau tidak, kita sebagai orang yang berakal budi sama-samalah menilainya. Dari Allah dia datang, kepada Allah dia telah kembali. Semoga roh tuan Abdul Majid Ismail di tempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang beriman. Aamiin. – NasionalDaily
Hasni Abas
Kuala Lumpur,
14 Mac 2024.
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!