SUNGAI PETANI – Seorang pemandu bas ekspres maut selepas bas yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer (KM) 75.2 Lebuh Raya Utara Selatan di Gurun dekat sini, awal pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.02 pagi tadi dan tiba di lokasi pada jam 4.19 pagi.
Beliau berkata, pemandu bas berusia 42 tahun itu tersepit di tempat duduk dan ditemukan dalam keadaan rentung.
“Lima mangsa (penumpang bas) termasuk pembantu pemandu bas, masing-masing berusia lingkungan 19 hingga 57 tahun dan seorang pemandu lori berusia 32 tahun terselamat.
“Seorang penumpang perempuan berusia 29 tahun dilaporkan mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Fauzi berkata, api berjaya dikawal pada jam 4.37 pagi dan mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Pendang untuk rawatan lanjut.
“Operasi membabitkan seramai 18 pegawai serta anggota dan turut dibantu BBP Amanjaya dan BBP Pendang, serta dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Gurun,” katanya. – Bernama
Kongsi berita menarik di Telegram nasionaldaily.com: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak iklan perniagaan dan produk anda bersama nasionaldaily.com? Emel kami di admin@nasionaldaily.com atau sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp terus kami di talian 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga promosi dan termurah!!