SUBANG JAYA – Sepasang suami isteri warga emas terperangkap dalam kejadian kebakaran melibatkan dua rumah di Jalan USJ 4/4C, dekat sini, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, isteri kepada pasangan itu, yang berusia 70-an meninggal dunia sebaik dibawa keluar pasukan Bomba dari rumah yang 60 peratus terbakar itu.
Manakala suaminya, juga berusia 70-an dilaporkan mengalami sesak nafas.
Menurut Komander Operasi Kanan, TPgB II Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman, JBPM Selangor menerima panggilan kecemasan pada jam 1.15 pagi mengenai kebakaran rumah yang berlaku di Jalan USJ 4/4C USJ 4, Subang Jaya.
Kata beliau, bertindak atas maklumat, pasukan Bomba dari BBP Subang Jaya dan BBP Puchong telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera sejurus panggilan diterima.
“Kebakaran melibatkan dua rumah teres dengan setiap unit telah terbakar 60 peratus dan turut menghanguskan sebuah kenderaan.
“Dalam kejadian itu, terdapat dua mangsa warga emas. Salah seorang mangsa, wanita berusia 70-an berjaya dibawa keluar oleh pasukan Bomba, namun telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM.
“Manakala seorang lagi mangsa iaitu lelaki berusia 70-an dilaporkan mengalami sesak nafas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.40 pagi dan seterusnya kerja-kerja “overhaul” telah dijalankan sehingga selesai. – NasionalDaily
Kongsi berita-berita menarik di Telegram NasionalDaily: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily dan sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami ke 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga.