KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Puad Zarkashi menegur Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim tidak perlu cakap besar mendakwa kononnya PKR bukan parti tong sampah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, beliau ada rekod PKR sebuah parti yang matlamat menghalalkan cara dan mencari kuasa.
“Hassan Karim tidak perlu cakap besar bahawa PKR bukan parti tong sampah. PKR ada rekod matlamat halalkan cara. Parti mencari kuasa.
“Apabila PKR terima Tun M jadi PM ke-7 adakah PKR tong sampah? Bila Tun M letak jawatan PM ke-7, PKR pujuk Tun M tarik balik hasrat itu.
“Soalan mudah untuk Hassan Karim. Apakah dia akan bantah jika Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) dan (Datuk Seri) Hamzah (Zainuddin) mohon sertai PKR?,” soal beliau menerusi hantaran Facebooknya.
Dr. Puad turut menempelak Hasan sudah lupa peribahasa seekor lembu membawa lumpur semua terpalit.
Beliau juga mengingatkan pemimpin PKR itu kes rasuah Dr. Xavier Jayakumar yang dahulunya merupakan Naib Presiden parti itu.
“Hassan perlu perincikan apa asas untuk mendakwa PKR adalah parti suci bersih. Rakyat lebih layak buat penilaian. Bukan dia dan Rafizi (Ramli).

Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, bekas pemimpin besar parti lain yang mahu menyertai PKR perlu disemak dan ditapis terlebih dahulu kerana PKR bukan parti tong sampah.
Ahli Parlimen Pasir Gudang itu berkata, mereka yang ada rekod jenayah, bankrap dan rasuah seeloknya tidak diterima dalam PKR.
“Adalah wajar serta munasabah serta bertanggungjawab untuk semak ke atas pemimpin-pemimpin besar parti lain yang hendak menyertai PKR. PKR perlu kekalkan imejnya yang bersih sebagai sebuah parti yang ingin membawa perubahan baik atau ‘reform’.
“Elemen-elemen bersifat parasit, dedalu, oportunis atau penyangak dan penyakau serta korup perlu ditolak awal-awal,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjangkakan lebih ramai bekas pemimpin berstatus profil tinggi daripada Perikatan Nasional (PN) akan meninggalkan parti masing-masing dan menyertai PKR dalam masa terdekat.
Dakwa Saifuddin, pihaknya ada menerima permohonan daripada pemimpin-pemimpin pembangkang yang mempunyai nama besar dalam arena politik negara dan berminat untuk menyertai PKR. – NasionalDaily
Kongsi berita-berita menarik di Telegram NasionalDaily: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily dan sales@nasionaldaily.com ATAU Whatsapp kami ke 010-894 2252 untuk dapatkan sebut harga.