PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini, mengekalkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam lelaki yang disabitkan kesalahan membunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais, sembilan tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail, yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.
Enam individu terbabit ialah bekas pakar patologi, Kolonel Dr. R. Kunaseegaran, 61; pemberi pinjaman wang, S. Ravi Chandran, 53; dan empat penganggur, R. Dinishwaran, 32; A K Thinesh Kumar, 31; M. Vishwanath, 34; dan S. Nimalan, 31.
Mereka dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 10 Julai 2020, selepas didapati bersalah membunuh Kevin Morais.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) berpendapat, semua enam lelaki itu mempunyai niat bersama untuk membunuh Morais dan mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap penglibatan mereka dalam pembunuhan itu.
Mereka didakwa membunuh Kevin Morais, 55, di sebuah lokasi di sepanjang Jalan Dutamas Raya Sentul dan Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara jam 7 pagi hingga jam 8 malam, pada 4 September 2015.
Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
Morais dilaporkan hilang pada 4 September 2015 yang mana mendiang kali terakhir dilihat meninggalkan kondominiumnya dengan menaiki kereta Proton Perdana dari Menara Duta, Kuala Lumpur, ke pejabatnya di Jabatan Peguam Negara di Putrajaya.
Mayatnya ditemukan dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, pada 16 September tahun sama. – NasionalDaily
Kongsi berita-berita menarik NasionalDaily di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com