BERITA UTAMA
Setinggan Lorong Delapan Kampung Pandan musnah terbakar

15 rumah setinggan di Kampung Pandan hangus terbakar

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 keluarga berputih mata menjelang Ramadan apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Lorong Delapan, Kampung Pandan di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, Hang Tuah, Keramat, Bandar Tun Razak, Cheras dan Sentul mengambil masa lebih dua jam memadam api.

Menurut Komander Operasi Kanan, Mustapa Kamal Mohd Arih, sebaik tiba di lokasi, api telah marak memusnahkan 100 peratus 15 rumah setinggan itu.

“JBPM Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran rumah setinggan ini pada jam 9.51 malam.

“Pada mulanya pasukan bomba dari tiga balai berhampiran iaitu BBP Pudu, BBP Hang Tuah dan BBP Keramat telah digerakkan ke lokasi kejadian bersama jentera sejurus panggilan diterima.

“Namun, tambahan anggota dan jentera dari tiga lagi BBP iaitu Bandar Tun Razak, Cheras dan Sentul bagi melancarkan operasi pemadaman kebakaran,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kata beliau, kebakaran yang berlaku melibatkan 15 rumah setinggan dianggarkan berkeluasan 300 kaki persegi telah terbakar 100 peratus.

Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan kebakaran dapat dikawal pada jam 10.54 malam dan dipadamkan sepenuhnya jam 12.30 tengah malam tadi.

“Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Desa Petaling, PBS Salak Sounth dan PBS Gombak turut hadir bagi membantu operasi pemadaman.

“Seramai 48 anggota bomba pelbagai pangkat telah ditugaskan dalam operasi pemadaman kebakaran pada kali ini dengan menggunakan tiga jentera FRT, dua jentera LFRT, lima Water Tanker dan dua kenderaan Unit EMRS,” katanya. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *