MIRI – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke Sungai Kuala Baram dekat sini, pada 4 Mac lalu memasuki hari kelapan hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan berkata, SAR disambung jam 9 pagi dan kawasan pencarian telah diperluaskan.
“Pencarian atas permukaaan air dilakukan menggunakan empat bot dengan jarak radius pencarian masing-masing lima kilometer ke hulu dan ke hilir sungai dari mangsa dilaporkan terjatuh.
“Sementara satu lagi pasukan mencari di kawasan menggunakan pacuan empat roda polis di kawasan Kampung Masjid Kuala Baram,” katanya.
SAR turut membabitkan pasukan Polis Marin, Sarawak Coast Guard serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Terdahulu mangsa, Japar James Tedong, 17, dari Rumah Buan, Sungai Malang Tengah di sini, dilaporkan tergelincir selepas mandi di kawasan sebuah limbungan kapal di Kuala Baram petang Isnin lalu.
Ketua Bahagian Siasatan Kebakaran JBPM Zon 6 Miri, Awangku Mohd Hazmin Awang Zainal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu jam 6.38 petang.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lutong bergegas ke lokasi yang terletak pada jarak 15 kilometer.
“Setiba di lokasi, anggota bomba menerima maklumat awal daripada saksi memberitahu mangsa tergelincir selepas mandi di sungai itu.
“Mangsa tidak memakai baju, sebaliknya hanya berseluar pendek,” katanya. – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com