BERITA UTAMA
Gesaan TMJ mahu Johor dilayan setaraf Sabah,Sarawak ada asas – Hassan Karim

Tuduh tidak demokrasi, elok Muhyiddin lihat rekod lampaunya – Hassan

KUALA LUMPUR – Benarkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin lebih bebas dan demokratik, manakala kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim menekan kebebasan demokrasi?

Persoalan itu dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Karim berhubung dakwaan Muhyiddin bahawa kerajaan perpaduan beramal dengan sistem autokrasi.

Katanya, beliau tidak berhasrat mempertahankan rekod kerajaan Madani dalam soal kebebasan demokrasi.

“Tetapi, izinkan saya untuk menyatakan satu fakta apa yang sesungguhnya berlaku semasa pemerintahan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

“Pada satu hari saya berlepas selepas Subuh dari Johor untuk ke sidang Parlimen di Kuala Lumpur. Sesampainya saya di Bulatan Jalan Parlimen, polis FRU lengkap dengan senapang dan perisai menghalang saya masuk ke Parlimen.

“Saya dapati kemudian semua Ahli Parlimen juga disekat masuk, termasuklah Anwar (Port Dickson), Tun Dr. Mahathir Mohamad (Langkawi) dan bekas Perdana Menteri ketujuh,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang berucap pada Konvensyen PN di ibu negara pagi ini bahawa kerajaan PH beramal dengan sistem autokrasi dan petanda itu terjelma seawal membentuk kerajaan.

Muhyiddin berkata, PN sebaliknya memang tidak bercakap mengenai demokrasi dengan berlebihan seperti PH, namun menurutnya terbukti lebih demokratik.

“Kita tak bercakap berdegar-degar mengenai demokrasi, tetapi kita amalkan demokrasi.

“Mereka (PH) bercakap berdegar-degar mengenai demokrasi, tetapi mengamalkan autokrasi,” katanya Pengerusi PN ketika menyampaikan ucapan perasmian Konvensyen Wakil-wakil Rakyat PN di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Hassan, ketika pemerintahan Muhyiddin, semua Ahli Dewan Rakyat diberitahu bahawa Parlimen telah digantung dan Perdana Menteri kelapan itu telah mengisytiharkan darurat di seluruh Malaysia.

“Pada saya, selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang yang telah dipilih oleh rakyat, tindakan Muhyiddin ketika itu adalah tidak demokratik dan menekan kebebasan Parlimen.

“Sebagai tanda bantahan saya kepada tindakan kerajaan PN pimpinan Muhyiddin yang mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen itu, maka saya telah mencabar tindakannya dan kerajaan.

“Saya telah failkan tindakan Semakan Kehakiman (Judicial Review) ke atas keputusan kerajaan PN mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen. Saya memohon supaya Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengisytiharkan bahawa Proklamasi Darurat itu tidak sah,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata Hassan, permohonannya itu telah ditolak Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

“Saya yang dilatih sebagai seorang peguam tidak mudah menyerah kalah. Saya ingin membuktikan tindakan Muhyiddin yang anti-demokrasi itu adalah salah.

“Kalah di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, kemudian saya merayu di Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya. Sekali lagi saya kalah.

“Selepas kalah di Mahkamah Rayuan, saya teruskan rayuan saya di Mahkamah Persekutuan. Kes tersebut kini masih berada di Mahkamah Persekutuan. Belum selesai,” katanya.

Katanya, di Konvensyen PN hari ini, Muhyiddin menuduh dan mendakwa kerajaan Madani pimpinan Anwar yang mentadbir sekarang sebagai menekan kebebasan dan tidak demokratik, maka saya fikir ada moleknya beliau melihat rekod lampaunya sendiri. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *