KUALA LUMPUR – Isu sorok minyak masak peket bukan sesuatu yang baru, namun kini tindakan tegas diambil terutama apabila semakin dekat dengan musim perayaan.
Tambahan bulan Ramadan bakal menjelang, maka orang ramai pastinya mencari minyak masak peket bagi persiapan untuk masak waktu sahur dan berbuka.
Sebuah pasar raya di Sungai Lalang, Kedah berdepan tindakan tegas selepas menyembunyikan minyak masak peket.
Menurut Kosmo, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu pasar raya tersebut selepas menerima aduan orang awam.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan pada jam 11.30 pagi itu dilakukan susulan laporan yang menyatakan premis berkenaan memberi alasan sudah kehabisan stok.
“Kita menggerakkan operasi pemantauan dengan menghantar anggota KPDN berpakaian preman untuk melakukan uji beli di premis tersebut dan mendapati tiada minyak masak peket dipamer di rak jualan.
“Semasa penyamaran itu, anggota kita dimaklumkan oleh seorang pekerja premis berkenaan bahawa bekalan minyak masak peket telah habis,” katanya dipetik Kosmo.
Tambahnya, pasukan serbuan kemudian memasuki premis berkenaan dan menjumpai 30 minyak masak peket disembunyikan dalam stor.
“Pihak kita kemudian menyita semua minyak masak peket bernilai RM75 itu untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16A(1)(b). – NasionalDaily
NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com