BERITA UTAMA

Lapan pengutip parkir secara haram dihukum penjara, denda – DBKL

KUALA LUMPUR – Lapan individu, dua darinya warga asing yang menjalankan kutipan duit orang ramai melalui penjagaan parkir secara haram di sekitar ibu kota ditangkap dan dibicarakan di Mahkamah Majistret Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Semua individu terbabit, tiga warga tempatan, tiga (India) dan masing-masing satu warga Bangladesh serta Myanmar dikenakan hukuman penjara antara 14 hingga 30 hari dan denda.

Menurut kenyataan DBKL, mereka ditangkap Pasukan Tindakan Khas, Jabatan Penguatkuasaan melalui Ops Jaga sekitar Jalan Tun Sambathan, Jalan Sri Hartamas, Jalan Beremi, Jalan Tengkat Tong Shin, Jalan Alor dan Jalan Raja Alang di sini, bermula jam 12.30 tengah hari hingga 9.30 malam semalam.

Katanya, individu yang ditahan itu dibawa ke Jabatan Penguatkuasaan untuk tindakan lanjut dan proses dokumentasi iaitu pendakwaan mahkamah dan kertas siasatan.

“Dalam pemantauan, risikan dan tindakan penguatkuasaan di lokasi hotspot berkaitan, DBKL mendapati ada beberapa individu menjaga dan mengutip wang parkir tanpa kebenaran di kawasan awam.

“Mereka menjadikan kawasan bahu jalan, siar kaki, kawasan lapang atau mana-mana petak letak kereta awam sedia ada pada siang dan waktu malam untuk mengenakan parkir kepada orang ramai,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, hasil dari keputusan Mahkamah Majistret DBKL semasa sesi pendakwaan pagi ini, seorang telah dikenakan hukuman penjara 30 hari, empat dipenjara 14 hari dan tiga lagi dikenakan denda.

Tindakan penguatkuasaan ke atas mereka dibuat melalui peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 50(3), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan.

Sebarang aduan atau maklumat, orang awam boleh menyalurkan melalui portal ADU@KL di laman sesawang http://adukl.dbkl.gov.my. – NasionalDaily

 

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk anda bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *