BERITA UTAMA

Perbicaraan kes Bob Jeffry, saksi dakwa tidak pernah dengar nama dua syarikat pembekal

SHAH ALAM – Saksi pertama dipanggil untuk soal balas dengan peguam bela tertuduh, bekas Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif ProEight, Bob Jeffry Bob Fauzi Ziegler berhubung kes pecah amanah wang syarikat di Mahkamah Sesyen 11 di sini.

Dalam penyata saksi yang dibaca di depan Hakim Mohamad Anas Mahadzir, Penyelengaraan Eksekutif, Anuar Mohd Nor memberitahu mahkamah, beliau yang bekerja selama 14 tahun di syarikat itu tidak pernah mendengar atau berurusan dengan pembekal bernama Thezies PLT dan ICG Service.

Katanya, beliau juga tidak pernah menandatangani apa-apa permohonan pembelian, penerimaan invois dan sebagainya berkenaan dua syarikat itu.

“Untuk sebarang pesanan barangan penyelenggaraan, saya hanya akan membuat (pesanan) sendiri melalui proses dan prosedur kerana saya merupakan ketua penyelenggaran di kilang ProEight.

“Sebagai eksekutif penyelenggaraan syarikat saya ditugaskan untuk mengawal selia tiga pekerja dan tugas saya adalah memastikan semua jentera mesin serta peralatan di kilang berfungsi dengan baik, manakala sebarang ubahsuai, pembaikan dan penyelenggaraan adalah di bawah selian saya.

“Saya juga ditugaskan untuk membuat pemeriksaan dan stok bekalan yang masuk dan keluar daripada kilang,” katanya ketika dalam soal balas peguam bela dan pihak pendakwaraya.

Katanya, beliau dipanggil memberi keterangan berkaitan laporan polis yang telah dibuat oleh majikannya, Pengarah ProEight, Ir. Azhar Zainal Abidin terhadap Bob Jeffry pada 13 Mei 2022.

Adik kepada pelakon Julia Ziegler itu berdepan dengan tuduhan pecah amanah wang syarikat apabila mengemukakan tuntutan palsu bagi memperoleh wang sebanyak RM433,557 untuk kegunaannya.

Beliau yang dihadapkan ke mahkamah pada 26 September 2022 mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Bob Jeffry didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman dipenjara kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun bagi setiap pertuduhan dan juga berhadapan dengan hukuman sebat dan denda jika didapati bersalah.

Hakim Mohamad Anas yang mendengar kes itu menetapkan lima hari untuk perbicaraan iaitu 4 Mac, 22 dan 23 April serta 7 dan 8 Mei ini.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Anuar berkata, lazimnya syarikat akan membuat tempahan barang penyelenggaraan di kedai hardware sahaja dan ProEight tidak mempunyai syarikat panel yang membekalkan barangan penyelenggaraan kilang.

Katanya, jika ada syarikat lain yang membuat pesanan untuk membekalkan barangan kepada ProEight, beliau pasti pesanan barangan yang dibekalkan tidak wujud dan palsu.

“Saya tahu mengenai pemalsuan barangan penyelenggaraan syarikat apabila Pengarah syarikat (Azhar) bertanya kepada saya pasal syarikat Thezies PLT dan ICG Services.

“Pengarah sertakan (tunjuk) butiran pembekalan barangan dari dua syarikat ini, yang mana saya menafikan ada menempah barangan itu di Thezies PLT dan ICG Services,” katanya.

Beliau kemudian disoal balas oleh peguam mewakili Bob Jeffry yang mahu pengesahan sama ada penyata saksi itu benar atau tidak.

Anuar menyatakan benar dan memberitahu mahkamah, penyata saksi itu disediakan minggu lepas oleh peguam syarikat kepadanya.

Dalam soal balas itu, peguambela Bob Jeffry lebih menumpukan soalan kepada saksi berkenaan surat akuan bersumpah yang disediakan Anuar berkenaan kes itu.

Surat akuan bersumpah itu kemudian ditunjukkan kepada Anuar dan disahkan betul serta dimaklumkan kepada hakim bahawa dokumen itu diperoleh daripada serahan 51A manifest pertuduhan.

“Jika tiada bantahan daripada rakan saya di sana, saya memohon ditandakan sebagai affidavit,” kata peguam bela.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya memohon untuk menjelaskan relevannya dokumen itu terhadap kes berkenaan.

Peguambela menjawab, dokumen itu diserahkan oleh pihak pendakwaan untuk kes berkenaan di bawah seksyen 51A dan tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya.

Perbicaraan bersambung pada 22 dan 23 April ini. – NasionalDaily

NasionalDaily juga boleh dikongsi di Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Anda berminat hendak post iklan perniagaan atau produk and bersama NasionalDaily? Hubungi kami di admin@nasionaldaily atau sales@nasionaldaily.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *