BERITA UTAMA

Pemandu maut steamroller jatuh gaung

KUALA LUMPUR – Seorang pemandu jentera ‘steamroller’ maut tersepit dalam kejadian di Jalan 13, Kampung Cheras Baru, di sini, petang ini.

Mangsa yang memandu jentera penggelek wap jalan itu dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur yang menerima panggilan kecemasan pada jam 3.07 petang memaklumkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras dan Bandar Tun Razak untuk ke lokasi kejadian.

Menurut Komander Operasi Kanan, PKPgB Mohd Khairul Azmi Jaafar, panggilan diterima mengenai kejadian penggelek wap jalan (steamroller) jatuh ke dalam gaung.

Katanya, kejadian yang berlaku di Jalan 13 Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur itu menyebabkan seorang lelaki dewasa iaitu pemandu kenderaan tersebut meninggal dunia akibat tersepit.

“Pasukan Bomba daripada BBP Cheras dan BBP Bandar Tun Razak telah bergegas ke lokasi kejadian bersama jentera sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Steamroller itu terjatuh dalam gaung sedalam 25 meter dan merempuh sebuah rumah. Pemandu kenderaan itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada KKM,” katanya.

Beliau berkata, pasukan Bomba bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkan mayat mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – NasionalDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *