KOTA BHARU – Polis menemukan beberapa peralatan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pecah rumah ketika melakukan pemeriksaan lanjut di lokasi kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 65 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Sik Choon Foo berkata, kemalangan kira-kira jam 7 pagi itu membabitkan sebuah kereta Nissan Grand Livina dan Toyota Estima.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila Nissan Grand Livina dipandu lelaki berusia 56 tahun dari Gua Musang ke Kuala Krai cuba mengelak sebelum bergesel dengan Toyota Estima yang sedang memotong dari arah bertentangan.
“Akibat pergeseran itu, pemandu Nissan Grand Livina hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar penghadang jalan konkrit.
“Pemandu Nissan Grand Livina mengalami kecederaan ringan, manakala pemandu Toyota Estima bertindak melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sik berkata, kes disiasat mengikut Kaedah 12(3) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 (L.N. 167/1959) kerana memotong di garisan berkembar.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan serta mengesan pemandu Toyota Estima berkenaan.
Orang ramai menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Aida di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Gua Musang menerusi talian 09-912 1222. -BERNAMA
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
