KUALA LUMPUR – EcoSys (Malaysia) Bhd. mencatatkan keuntungan selepas cukai RM1.49 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, ketika hasilnya susut berbanding suku sebelumnya.
Penyedia penyelesaian perindustrian kepada industri berkaitan semikonduktor itu merekodkan keuntungan sebelum cukai RM1.87 juta dan keuntungan kasar RM4.82 juta daripada hasil RM27.33 juta bagi suku berkenaan.
Hasil suku ketiga menurun 11.8 peratus daripada RM30.99 juta pada suku kedua, terutama disebabkan sumbangan lebih rendah daripada perniagaan sistem kawalan pencemaran.
Hasil segmen itu berkurang kepada RM3.50 juta daripada RM13.25 juta pada suku sebelumnya kerana pesanan sistemnya dijadualkan dihantar kepada pelanggan pada suku berikutnya.
Penurunan berkenaan sebahagiannya diimbangi peningkatan hasil segmen ketulenan ultra tinggi (UHP) kepada RM23.83 juta daripada RM17.74 juta pada suku kedua.
EcoSys berkata, sumbangan lebih rendah daripada segmen sistem kawalan pencemaran, yang mempunyai margin lebih tinggi, turut menyebabkan margin keuntungan kasar kumpulan turun kepada 17.64 peratus pada suku ketiga.
Pengarah Urusan EcoSys, Chan Chee Wei berkata prestasi sembilan bulan pertama mencerminkan sumbangan daripada kedua-dua perniagaan utama kumpulan itu.
“Segmen pengurangan mencatatkan sumbangan yang lebih rendah semasa suku ketiga, kerana pesanan untuk sistem pengurangan akan dihantar kepada pelanggan pada suku berikutnya,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, EcoSys mencatatkan hasil RM80.87 juta dan keuntungan selepas cukai RM6.85 juta.
Keuntungan sebelum cukai bagi tempoh itu berjumlah RM9.11 juta, manakala keuntungan kasar RM17.59 juta, bersamaan margin keuntungan kasar 21.75 peratus.
Segmen UHP menyumbang RM54.45 juta atau 67.3 peratus daripada hasil sembilan bulan kumpulan, sementara segmen sistem kawalan pencemaran menyumbang RM26.42 juta atau 32.7 peratus.
Chee Wei berkata, pemindahan operasi ke kilang di Simpang Ampat menyediakan ruang lebih besar untuk syarikat menambah peralatan fabrikasi, kimpalan dan pengujian bagi memperkukuh keupayaan UHP.
EcoSys juga merancang menggunakan sebahagian hasil tawaran awam permulaannya untuk mendapatkan komponen dan modul utama bagi sistem kawalan pencemaran, selain membangunkan pusat jualan serta perkhidmatan khusus di India.
Menurut syarikat, India menyumbang RM38.22 juta atau 35.1 peratus daripada hasil tahun kewangan 2025. EcoSys turut memperoleh tujuh pelanggan baharu di negara itu bagi segmen sistem kawalan pencemaran sepanjang tempoh yang dinyatakan dalam laporan suku tahunannya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
