SHAH ALAM – Ahmad Husam Muhamad Baderudin menegaskan, keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar dalam kes samannya terhadap dua bekas pegawai kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sekadar berkaitan tuntutan fitnah di media sosial, sebaliknya turut melibatkan dakwaan konspirasi untuk mendapatkan wang RM400,000 secara salah.
Pendakwah bebas itu berkata, penjelasan berkenaan perlu diberikan susulan hantaran Facebook oleh seorang individu yang mempertikaikan gambaran mengenai keputusan mahkamah berkenaan, khususnya berhubung dakwaan wujudnya ugutan bagi mendapatkan wang berkenaan.
Menurut beliau, kenyataan individu terbabit menyebut, sekiranya berlaku ugutan, perkara itu sepatutnya menjadi kes jenayah, bukannya kes sivil tidak menggambarkan kedudukan undang-undang secara menyeluruh.
Katanya, tuntutan yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi bukan hanya berkisar mengenai penerbitan kenyataan berunsur fitnah, tetapi turut merangkumi dakwaan konspirasi bertujuan menyebabkan kemudaratan terhadap dirinya melalui usaha mendapatkan wang RM400,000.
“Perkara ini bukan sekadar dakwaan yang dibangkitkan melalui media sosial, sebaliknya menjadi sebahagian daripada isu yang dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah.
“Alasan penghakiman bertulis menunjukkan hakim telah meneliti keterangan saksi, dokumen serta rakaman audio yang dikemukakan sepanjang perbicaraan sebelum membuat keputusan,” katanya dalam hantar balas menerusi Facebooknya semalam.
Ahmad Husam menarik perhatian kepada perenggan 30 hingga 40 alasan penghakiman yang menyentuh keterangan berkaitan pertemuan di Purest Hotel pada 3 November 2024, termasuk rakaman audio yang dikemukakan sebagai bahan bukti.
Malah, katanya, perenggan 48 merekodkan dapatan mahkamah bahawa elemen tuntutan konspirasi berjaya dibuktikan berdasarkan standard pembuktian dalam kes sivil.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Sementara itu, perenggan 89 hingga 91 pula membincangkan dapatan berkaitan konspirasi, permintaan wang RM400,000 serta unsur niat jahat.
Justeru, beliau berpandangan adalah tidak tepat untuk menggambarkan keseluruhan kes itu sebagai tuntutan fitnah Instagram semata-mata tanpa mengambil kira dapatan hakim berhubung elemen konspirasi.
Mengulas persoalan sama ada dakwaan ugutan sepatutnya dibawa melalui prosiding jenayah, Ahmad Husam menjelaskan, sesuatu tindakan boleh menimbulkan liabiliti sivil dan pada masa sama berpotensi mempunyai implikasi jenayah, bergantung pada fakta serta unsur kesalahan yang terlibat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tidak pernah mendakwa keputusan Mahkamah Tinggi itu merupakan sabitan jenayah terhadap mana-mana defendan.
Sebaliknya, apa yang perlu diberikan perhatian ialah dapatan mahkamah dalam prosiding sivil berkenaan yang tidak seharusnya diketepikan hanya kerana kes itu tidak dibicarakan sebagai kes jenayah.
Mengenai tindakan rayuan, Ahmad Husam berkata, beliau menghormati hak kedua-dua defendan untuk menggunakan saluran undang-undang yang tersedia.
Namun, katanya, pemfailan rayuan tidak bermakna keputusan Mahkamah Tinggi terbatal secara automatik, sebaliknya keputusan tersebut kekal berkuat kuasa tertakluk kepada apa-apa perintah atau keputusan lanjut mahkamah.
Beliau menjelaskan, tujuan mengemukakan alasan penghakiman kepada masyarakat bukan untuk mengajak orang ramai menghukum mana-mana pihak melalui media sosial, tetapi memberikan ruang kepada mereka meneliti sendiri fakta, hujahan dan dapatan yang direkodkan oleh mahkamah.
“Saya tidak meminta sesiapa mempercayai penjelasan saya secara membuta tuli. Bacalah alasan penghakiman, telitilah dapatan hakim dan kemudian buatlah penilaian berdasarkan fakta,” katanya.
Ahmad Husam turut menghormati pandangan individu terbabit, namun berpendapat sebarang penjelasan mengenai keputusan mahkamah perlu mengambil kira keseluruhan konteks penghakiman, bukan hanya sebahagian daripada latar belakang tuntutan.
Beliau berharap, masyarakat dapat menilai perkara itu secara adil berlandaskan dokumen mahkamah, bukannya membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang tidak menyeluruh.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
