Oleh: Bazli Razak
TANJONG MALIM – Mantan Menteri Pendidikan Tinggi, Tan Sri Idris Jusoh menerima Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Tahfiz daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan pendidikan tahfiz dan usaha mengintegrasikan ilmu al-Quran dengan bidang akademik.
Ijazah kehormat itu dikurniakan oleh Canselor UPSI, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim pada Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, hari ini.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Tahfiz kepada Idris merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen beliau dalam memperkasa pendidikan tahfiz menerusi pendekatan integrasi ilmu al-Quran dengan bidang akademik.
“Usaha beliau membangunkan IMTIAZ dan Model Ulul Albab serta memperkenalkan Gagasan Andalusia 2.0 memperlihatkan kesungguhan dalam melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja menguasai hafazan al-Quran, tetapi turut cemerlang dalam bidang ilmu pengetahuan, profesionalisme dan inovasi.
“Pendekatan ini penting dalam membentuk generasi ilmuwan Islam yang mampu menyumbang kepada kemajuan pendidikan, pembangunan masyarakat dan kegemilangan tamadun ilmu pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Idris ketika menyampaikan sembah ucapan, berkata Gagasan Andalusia 2.0 yang diperkenalkannya merupakan kesinambungan usaha mengembalikan kegemilangan tamadun ilmu Islam menerusi pembangunan pendidikan yang menghubungkan penguasaan al-Quran dengan pelbagai disiplin ilmu kontemporari.
Beliau berkata gagasan itu menekankan kepentingan melahirkan generasi Huffaz Pencipta, iaitu golongan penghafaz al-Quran yang bukan sahaja menguasai ilmu agama dan profesional, malah berupaya menghasilkan pengetahuan serta inovasi baharu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurutnya, pendekatan pendidikan masa kini perlu mengelakkan pemisahan antara ilmu dengan nilai ketuhanan, sebaliknya mengintegrasikan kedua-duanya dalam kandungan kurikulum, kaedah pengajaran dan pentaksiran.
“Integrasi bukan sekadar menggabungkan mata pelajaran agama dan akademik dalam satu jadual. Integrasi mesti berlaku dalam kandungan kurikulum yang kita ajar,” katanya.
Idris berkata usaha mengintegrasikan hafazan al-Quran dengan pendidikan akademik bermula menerusi penubuhan IMTIAZ di Besut, Terengganu pada 1999, yang menjadi sekolah pertama menggabungkan program hafazan dengan pengajian sains tulen dalam sistem pendidikan perdana.
Pendekatan itu kemudian berkembang menerusi penubuhan MRSM Ulul Albab di Kota Putra pada 2009 sebelum Tahfiz Model Ulul Albab dilaksanakan dalam sistem Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2014.
Beliau berkata kesinambungan pendidikan itu turut diperluas kepada kanak-kanak berusia tiga hingga sembilan tahun menerusi program Thalatha Tis’a yang memberi tumpuan kepada pembangunan potensi minda pada peringkat awal kehidupan melalui pendekatan pendidikan berteraskan al-Quran.

Katanya, rangkaian pendidikan berkenaan merangkumi Thalatha Tis’a pada peringkat awal kanak-kanak, IMTIAZ dan Model Ulul Albab di peringkat sekolah menengah, serta Andalusian Scholars pada peringkat pengajian tinggi.
“Melalui kerangka Gagasan Andalusia 2.0, kita mampu melahirkan Huffaz yang menguasai dan menggunakan ilmu, serta menghasilkan ilmu baharu. Mereka inilah Huffaz Pencipta,” katanya.
Turut menerima pengiktirafan pada istiadat berkenaan ialah Datuk Burhanuddin Md. Radzi yang dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Multimedia, manakala Prof Dr. Zakaria Ali dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus.
Istiadat Konvokesyen UPSI Ke-28 berlangsung dari 25 November hingga 2 Disember ini membabitkan lapan sesi dengan seramai 6,781 graduan bakal menerima ijazah dan diploma masing-masing.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
