KUALA LUMPUR – Go Hub Capital Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai RM1.82 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, meningkat sedikit daripada RM1.81 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Pendapatan penyedia penyelesaian teknologi maklumat pengangkutan itu melonjak 42.40 peratus kepada RM16.59 juta daripada RM11.65 juta, manakala keuntungan kasar meningkat 17.06 peratus kepada RM7.41 juta daripada RM6.33 juta.
Keuntungan sebelum cukai bagi suku berkenaan kekal stabil pada RM2.48 juta berbanding RM2.51 juta setahun sebelumnya, ketika kumpulan terus melabur dalam tenaga kerja bagi menyokong pengembangan perniagaan dan pelaksanaan projek baharu.
Berbanding suku sebelumnya, pendapatan meningkat 7.73 peratus daripada RM15.40 juta, manakala keuntungan sebelum cukai dan keuntungan selepas cukai turut bertambah sejajar dengan hasil lebih tinggi.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, keuntungan selepas cukai Go Hub melonjak 56.98 peratus kepada RM5.40 juta daripada RM3.44 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Keuntungan sebelum cukai bagi tempoh sembilan bulan pula meningkat 49.89 peratus kepada RM7.24 juta daripada RM4.83 juta, manakala keuntungan kasar bertambah 35.73 peratus kepada RM22.45 juta.
Pendapatan sembilan bulan melonjak 43.10 peratus kepada RM46.22 juta daripada RM32.30 juta, sementara pendapatan asas sesaham meningkat kepada 1.23 sen daripada 0.86 sen.
Penyelesaian teknologi maklumat pengangkutan kekal sebagai penyumbang utama kumpulan, merangkumi kira-kira 99.22 peratus daripada jumlah pendapatan sepanjang suku ketiga.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pendapatan berulang bagi suku berkenaan meningkat 39.35 peratus kepada RM12.50 juta daripada RM8.97 juta, disokong jumlah transaksi tiket lebih tinggi susulan pertambahan perjalanan Perkhidmatan Kereta Api Elektrik (ETS).
Prestasi itu turut dibantu pendapatan lebih tinggi daripada projek Sistem Pengurusan Barisan Teksi (TQMS) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), termasuk pelaksanaan projek e-panggilan di terminal berkenaan pada Ogos lalu.
Pendapatan tidak berulang pula meningkat 53.18 peratus kepada RM4.09 juta daripada RM2.67 juta, terutama didorong penyerahan projek Sistem Operasi Terminal baharu bagi segmen bas dan rel.
Bagi tempoh sembilan bulan, pendapatan berulang meningkat 42.88 peratus kepada RM34.22 juta dan membentuk kira-kira 74.04 peratus daripada keseluruhan pendapatan kumpulan.
Kedudukan kewangan Go Hub turut bertambah kukuh apabila tunai dan deposit jangka pendek meningkat kepada RM18.19 juta pada 30 September lalu daripada RM11.22 juta pada akhir Disember 2025.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Go Hub, Tan Cherng Thong berkata, peningkatan keuntungan serta pendapatan berulang menunjukkan skala perniagaan yang dibangunkan kumpulan mula menghasilkan prestasi lebih kukuh.
“Pelaksanaan projek e-panggilan di Terminal 1 KLIA pada Ogos dan sumbangan yang semakin meningkat daripada TQMS sudah menambah aliran pendapatan berulang baharu di atas perniagaan bas dan rel teras kami,” katanya.
Cherng Thong berkata, kumpulan akan terus melabur dalam tenaga kerja dan keupayaan bagi menyokong pelaksanaan projek baharu, termasuk sistem kutipan tambang automatik untuk perkhidmatan ekspres lebuh raya.
Go Hub turut menyasarkan peluang daripada pengembangan pembayaran tanpa tunai dalam rangkaian rel dan bas henti-henti, peluasan stesen rel di wilayah selatan serta penyertaan dalam tender tempatan dan luar negara.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
