KUALA LUMPUR – LGMS Bhd. mencatatkan keuntungan bersih RM1.13 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2026, menyusut 52.8 peratus berbanding RM2.38 juta pada suku sama tahun lalu.
Penyedia perkhidmatan keselamatan siber bebas itu merekodkan pendapatan RM9.60 juta bagi suku berkenaan, berbanding RM10.60 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2025.
Menurut siaran media LGMS, keuntungan lebih rendah disebabkan sumbangan pendapatan yang lebih perlahan, selain peningkatan perbelanjaan faedah pekerja susulan pengembangan tenaga kerjanya bagi menyokong operasi dan pertumbuhan perniagaan.
Kumpulan turut menanggung perbelanjaan teknologi maklumat lebih tinggi berkaitan pembangunan dan penggunaan penyelesaian baharu, namun perbelanjaan cukai lebih rendah membantu mengurangkan sebahagian kesan terhadap keuntungan bersih.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2026, pendapatan LGMS meningkat 0.9 peratus kepada RM30.53 juta daripada RM30.27 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun, keuntungan bersih bagi tempoh sembilan bulan berkenaan menyusut 20.1 peratus kepada RM5.07 juta daripada RM6.35 juta, manakala pendapatan asas sesaham berada pada 1.11 sen.
Pengarah Urusan LGMS, Fong Choong Fook berkata, kumpulan mengekalkan pendapatan yang agak stabil bagi tempoh sembilan bulan, walaupun keuntungan terjejas oleh kos operasi lebih tinggi dan nilai projek lebih rendah.
“Kami kekal fokus untuk mengurus struktur kos dan meningkatkan kecekapan operasi sambil terus melabur dalam teknologi dan keupayaan yang akan menyokong pembangunan jangka panjang kumpulan,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Segmen Pencegahan Risiko Siber kekal sebagai penyumbang pendapatan terbesar dengan merekodkan RM5.92 juta pada suku ketiga, berbanding RM6.70 juta pada suku sama tahun lalu.
Penurunan segmen berkenaan disebabkan sumbangan lebih rendah daripada pelanggan sektor telekomunikasi dan teknologi susulan nilai projek lebih kecil yang dilaksanakan sepanjang suku berkenaan.
Segmen Pengurusan Risiko dan Pematuhan Siber pula mencatatkan pendapatan RM2.51 juta berbanding RM2.74 juta sebelumnya, terutama berikutan pengebilan lebih rendah daripada pelanggan sektor perkhidmatan kewangan.
Pada masa sama, pendapatan segmen Ancaman Siber dan Tindak Balas Insiden kekal stabil pada RM1.17 juta, meningkat secara marginal sebanyak 0.3 peratus hasil pelaksanaan bilangan projek lebih tinggi.
Choong Fook berkata, LGMS memperkenalkan lima penyelesaian keselamatan siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) pada Oktober lalu, merangkumi penilaian keselamatan aplikasi AI, semakan kod sumber automatik dan pemantauan pendedahan kelayakan.
Penyelesaian lain ialah pengurusan permukaan serangan luaran dan pengesanan ancaman berasaskan penipuan, bertujuan mengembangkan penawaran berasaskan langganan serta menyediakan perlindungan keselamatan siber secara berterusan.
LGMS akan terus mengurus kos, meningkatkan kecekapan operasi dan mengembangkan penawaran berasaskan AI serta langganannya, di samping memanfaatkan kepentingan ekuiti 27 peratus dalam Antarex Holdings Sdn Bhd yang diperoleh pada Januari lalu.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
