IPOH – Rancangan pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Chemor di sini memberi kelegaan kepada penduduk setempat yang berdepan isu kepadatan murid di sekolah rendah sekitar kawasan Chemor dan Chepor.
Bagi penjawat awam, Kamalul Hayyat Abdul Rani, 33, yang menetap di Dataran Kinding SSI, Tanjung Rambutan di sini, cadangan mengenai projek sekolah baharu itu amat menggembirakan golongan ibu bapa memandangkan kapasiti sekolah sedia ada yang semakin terhad sering menyukarkan urusan pendaftaran persekolahan anak-anak.
Bapa kepada dua anak lelaki berusia tujuh dan tiga tahun itu berkata pembinaan sekolah baharu berkenaan bakal memudahkan urusan harian keluarganya kerana kedudukan tapaknya di pekan Chemor sangat dekat dengan kediaman ibu mentua di Tanah Hitam yang menjadi tempat persinggahan anak-anaknya.
“Sekarang murid memang ramai, kalau lambat pendaftaran penuh dan akan timbul masalah, terpaksa mencari sekolah lain di sekitar sini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Kamalul Hayyat juga berhasrat untuk menghantar anak bongsunya bersekolah di SK Seri Chemor kerana perjalanan dari rumah ibu mentua ke lokasi sekolah itu hanya mengambil masa lima minit.
Nada positif sama turut dikongsi eksekutif perolehan di sebuah syarikat swasta, Mohammad Hasiff Radzi, 34, yang menyifatkan pembinaan SK Seri Chemor sebagai langkah tepat seiring dengan pertambahan pesat kawasan perumahan dan populasi penduduk di sekitar Chemor.
Penduduk Taman Chemor Idaman serta bapa kepada tiga cahaya mata berusia lima dan tujuh tahun serta sembilan bulan itu, berkata lokasi sekolah berkenaan yang hanya kira-kira lima minit perjalanan dari kediamannya akan memberi keselesaan berganda buat keluarga di kawasan sekitar.
“Kalau untuk buka sekolah baharu sama ada sekolah rendah atau menengah, semua okey sahaja sebab penduduk sekitar semakin ramai,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau yakin penyediaan prasarana pendidikan yang serba lengkap merangkumi kelas arus perdana, prasekolah serta Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah itu kelak akan menjadi pilihan utama ibu bapa setempat termasuk dirinya sendiri untuk mendaftarkan persekolahan anak-anak.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Perak Datuk Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata pembinaan SK Seri Chemor yang diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) Rolling Plan Pertama (RP1) dengan peruntukan RM80 juta memang dirancang khusus bagi meredakan tekanan kepadatan murid di kawasan berkenaan.
Beliau berkata ketika ini, dua sekolah rendah berhampiran iaitu SK Haji Mahmud dan SK Chepor terpaksa beroperasi secara dua sesi berikutan jumlah murid yang tinggi masing-masing mencecah 1,043 dan 1,041 orang, manakala tapak baharu di Lot 153789 milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dalam Parlimen Tambun itu terletak di lot yang sama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Mohd Taib.
“Jadi dengan adanya sekolah SK Seri Chemor ini memang dijangkakan kita dapat menampung keperluan penduduk setempat, secara tak langsung kita mungkin dapat penyuraian bagi sekolah padat yang sedia ada,” katanya kepada Bernama ketika ditemu bual di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Mengulas perancangan pembangunan sekolah itu, Zulkafli memaklumkan SK Seri Chemor direka bentuk untuk menampung kapasiti optimum 844 murid secara keseluruhan menerusi penyediaan 34 bilik darjah.
Beliau berkata pecahan kapasiti itu merangkumi 24 bilik darjah perdana bagi 720 murid, enam bilik darjah PPKI untuk 42 murid, tiga bilik darjah prasekolah perdana bagi 75 murid serta satu bilik darjah prasekolah integrasi PPKI yang menempatkan tujuh murid.
Zulkafli berkata sekolah berkenaan turut dilengkapi pelbagai kemudahan fizikal dan bilik khas mengikut piawaian termasuk padang serta kantin bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif kepada semua murid.
Beliau menegaskan aspek kebajikan serta keselesaan murid berkeperluan khas turut diberi keutamaan dalam reka bentuk bangunan sekolah baharu tersebut agar tiada golongan pelajar yang terpinggir.
“Berdasarkan perancangan semasa, SK Seri Chemor dijangka siap pada 2031 dan akan mula beroperasi pada 2032 bergantung kepada kelancaran fasa reka bentuk, pembinaan serta penyerahan projek menerusi kerjasama erat kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, kontraktor serta perunding dilantik,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2027 sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan membina beberapa sekolah baharu, bangunan prasekolah serta kemudahan di sekolah sedia ada antaranya SK Seri Chemor di Ipoh. – BERNAMA
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
