Oleh: Ts. Dr. Mohd Hairul Mohd Salleh
SABAK BERNAM -Kontinjen sukan air Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya membawa pulang enam pingat menerusi penyertaan dalam acara perahu naga dan kayak sempena Karnival Ban Canal (KBC) 2026 yang berlangsung pada 6 hingga 8 November lalu, di sini.
Lebih membanggakan, kontinjen DBKL berjaya mengumpul tiga pingat emas, dua perak dan satu gangsa, sekali gus dijulang sebagai Juara Keseluruhan Piala Korporat KBC 2026 yang membawa pulang wang tunai, piala pusingan dan maskot kejohanan, membuktikan keupayaan serta daya saing atletnya dalam menghadapi saingan daripada pasukan lain yang mengambil bahagian.
Kejayaan tersebut menyaksikan atlet DBKL menyerlah dalam beberapa acara utama bagi kategori Piala Korporat, khususnya acara pecut 200 meter yang menuntut kekuatan fizikal, ketahanan, koordinasi dan keserasian berpasukan.
Dalam acara perahu naga, pasukan DBKL mempamerkan dayungan mantap apabila berjaya meraih dua pingat emas menerusi acara 200 meter Sprint Perahu Naga 12 Campuran oleh DBKL A dan 200 meter Sprint Perahu Naga 12 Lelaki. Sementara itu, pasukan DBKL B turut menyumbang pingat gangsa dalam acara 200 meter Sprint Perahu Naga 12 Campuran.
Kecemerlangan kontinjen DBKL turut diteruskan dalam acara kayak apabila Nurhannan Aiman binti Sabaruddin berjaya meraih pingat emas bagi acara 200 meter Kayak Sprint Seat On Top (SOT) Single Wanita. Rakan sepasukannya, Khairiyah binti Mohd Malek, pula menyumbangkan pingat perak dalam acara yang sama.
Sementara itu, Muhammad Arif Fitri bin Mazelan melengkapkan kutipan pingat kontinjen DBKL apabila berjaya memperoleh pingat perak dalam acara 200 meter Kayak Sprint Seat On Top (SOT) Single Lelaki.
Pencapaian keseluruhan ini mencerminkan komitmen, disiplin dan semangat juang tinggi yang ditunjukkan oleh setiap atlet sepanjang pertandingan. Kejayaan dalam acara perahu naga, khususnya, turut memperlihatkan kepentingan kesepaduan pasukan, komunikasi dan keseragaman kayuhan sebagai elemen penting untuk mencapai kemenangan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Pengurus pasukan, Rizuan Ismail, berharap kejayaan yang diraih pada edisi kali ini dapat dijadikan pemangkin semangat kepada seluruh atlet untuk terus meningkatkan prestasi dan mengekalkan momentum kecemerlangan dalam kejohanan akan datang.
Beliau turut berharap pencapaian tersebut dapat diteruskan pada edisi yang seterusnya, sekali gus memperkukuh reputasi DBKL sebagai kontinjen yang kompetitif dalam arena sukan air.
Kejayaan enam pingat ini bukan sekadar pencapaian di atas podium, malah menjadi manifestasi semangat berpasukan, kesungguhan dan komitmen warga DBKL dalam mengharumkan nama organisasi menerusi platform sukan.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
