KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menggesa semua pihak menghormati keputusan pengampunan diraja yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atau Raja berkuasa mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, tanpa menjadikannya bahan pertikaian politik.
Naib Presidennya, Irwan Fahmi Ideris berkata, pengampunan diraja bukan keputusan politik atau hadiah daripada mana-mana parti, sebaliknya kuasa yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, keputusan pengampunan yang sah perlu dihormati tanpa mengira latar belakang, kedudukan, fahaman politik atau kesalahan lampau individu yang menerimanya.
Menurutnya, tidak wajar mana-mana pihak menunjukkan sikap pilih kasih dengan menghormati keputusan pengampunan apabila membabitkan individu yang sehaluan, tetapi mempertikaikannya apabila melibatkan tokoh politik yang tidak disukai.
“Jika seseorang banduan yang tidak mempunyai hubungan dengan kepentingan politik kita diberikan pengampunan, kita menghormati keputusan Tuanku.
“Tetapi apabila seseorang yang mempunyai hubungan atau kepentingan politik tertentu menerima pengampunan, tiba-tiba keputusan itu dipertikaikan, diperlekehkan dan dijadikan modal politik.
“Sikap sedemikian memperlihatkan ketidakselarasan dalam menghormati institusi Raja,” katanya dalam kenyataan media.
Irwan Fahmi berkata, Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Perlembagaan sebagai undang-undang utama negara, manakala Perkara 42 memperuntukkan kuasa pengampunan, penangguhan dan peringanan hukuman mengikut bidang kuasa masing-masing.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Katanya, Perkara 181(1) pula memelihara kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan keputusan pengampunan yang dibuat mengikut kerangka perlembagaan tidak sepatutnya diperlekehkan atau dijadikan senjata politik untuk merendahkan martabat institusi Raja.
PERKASA turut menggesa semua pihak yang bertanggungjawab melaksanakan keputusan pengampunan memastikan setiap syarat dan ketetapan yang diperkenankan dipatuhi.
Katanya, sebarang persoalan berhubung tafsiran atau pelaksanaan pengampunan hendaklah dikemukakan melalui saluran perlembagaan dan undang-undang yang sewajarnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa setiap banduan mempunyai hak untuk memohon pengampunan, termasuk mereka yang dijatuhi hukuman mati.
“Pengampunan diraja bukan soal siapa yang kita suka atau siapa yang kita tidak suka. Hari ini mungkin seseorang yang kita sokong menerima pengampunan. Esok mungkin seseorang yang kita tidak sokong pula menerimanya.
“Prinsipnya tetap sama, keputusan pengampunan yang sah mesti dihormati,” katanya.
Irwan Fahmi berkata, kebencian politik tidak seharusnya menyebabkan rakyat kehilangan rasa hormat terhadap institusi Raja, sebaliknya kesetiaan kepada Raja dan negara serta prinsip Raja Berperlembagaan perlu terus dipelihara.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
