Oleh: Bazli Razak
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemartabatan warisan budaya serta sejarah pendidikan menerusi peluncuran Gerbang Budaya @ Institut Peradaban Melayu (IPM) yang menggabungkan tiga ruang utama sebagai wadah ilmu, penyelidikan dan penghayatan warisan.
Naib Canselor UPSI Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen universiti dalam memastikan warisan budaya dan peradaban Melayu terus dipelihara, dihayati serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Beliau berkata, penyatuan Dataran Budaya, Laman Warisan dan Galeri SKTM bukan sekadar menyediakan ruang untuk kegiatan seni dan budaya, malah berperanan sebagai platform memperkukuh jati diri bangsa melalui pengembangan ilmu serta penyelidikan berkaitan warisan tempatan.
“Gerbang Budaya @ IPM merupakan satu usaha untuk menjadikan warisan sebagai sumber ilmu, penyelidikan dan kreativiti, selain memastikan sejarah serta peradaban Melayu terus dikenali dan dihayati oleh generasi akan datang.
“Kita mahu ruang ini menjadi tempat pertemuan ilmu, seni dan masyarakat yang bukan sahaja memelihara warisan, tetapi turut menghidupkan nilai serta kearifan tempatan dalam membentuk jati diri bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Gerbang Budaya @ IPM yang diadakan bersempena Perhimpunan Bulanan UPSI Edisi November 2026 sempena Sambutan Hari Integriti dan Hari Ibu Kandung Suluh Budiman di Dewan SITC, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, hari ini.

Sementara itu, Pengarah IPM UPSI, Prof Dr. Tajul Shuhaizam Said berkata, Gerbang Budaya @ IPM merupakan inisiatif UPSI menerusi IPM yang menyatukan tiga ruang utama dengan fungsi tersendiri, iaitu Dataran Budaya, Laman Warisan dan Galeri SKTM.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurutnya, dataran Budaya berperanan sebagai pentas kegiatan seni, budaya dan komuniti yang menyediakan ruang interaksi serta pengembangan kreativiti masyarakat.
“Laman Warisan pula mengetengahkan keindahan taman larangan Melayu berteraskan penyelidikan tumbuhan tradisi dan kearifan tempatan, sekali gus memperkenalkan hubungan antara warisan alam dengan budaya masyarakat Melayu.

Sementara itu, Galeri SKTM berperanan memartabatkan sejarah dan perkembangan pendidikan sekolah rendah menerusi pameran serta aktiviti pembelajaran yang membolehkan pengunjung mengenali perjalanan dan evolusi pendidikan negara.
“Penyatuan ketiga-tiga ruang berkenaan mencerminkan usaha UPSI memperluas peranan warisan sebagai sumber pembelajaran, penyelidikan dan pembentukan identiti bangsa, selain menjadikan Gerbang Budaya @ IPM sebagai ruang interaksi antara institusi ilmu dengan masyarakat,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
