KANGAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad meninggal dunia di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, semalam.
Pemergian Allahyarham yang berusia 50 tahun itu disifatkan sebagai mengejutkan keluarganya kerana beliau tidak menunjukkan sebarang perubahan kesihatan yang membimbangkan sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Menurut suaminya, Sabry Saad, 52, isterinya masih seperti biasa, malah sempat bergurau dan berbual dengan ahli keluarga pada Jumaat lalu.
Katanya, Wan Badariah juga kebelakangan ini dilihat lebih kerap menghubungi anak kedua mereka berusia 18 tahun dan sedang mengikuti pengajian Asasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Allahyarham turut meluangkan masa berbual melalui telefon dengan dua lagi anak mereka yang berada di Perlis.
“Pada mulanya, tiada apa-apa yang pelik. Beliau masih boleh bergurau dan berbual seperti biasa. Cuma sejak kebelakangan ini, beliau kerap menghubungi anak-anak.
“Selepas persidangan DUN nanti, kami sebenarnya merancang untuk bercuti bersama tiga anak berusia antara 15 hingga 19 tahun. Namun, hasrat itu tidak kesampaian,” katanya.
Sabry berkata, isterinya mengalami keletihan sejak beberapa hari lalu, namun keadaan itu tidak dianggap serius kerana tiada tanda menunjukkan beliau berdepan masalah kesihatan yang kritikal.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Bagaimanapun, keadaan Wan Badariah dilaporkan merosot secara mendadak kira-kira jam 9 pagi semalam sebelum dibawa ke Jabatan Kecemasan HTF pada jam 10.30 pagi.
“Ketika kami membawanya ke hospital, isteri sudah tidak boleh bercakap. Setibanya di Jabatan Kecemasan, doktor mengambil tindakan menidurkannya.
“Keadaan oksigen dan tekanan darahnya semakin menurun sebelum doktor beberapa kali melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR), namun usaha menyelamatkannya tidak berhasil,” katanya.
Wan Badariah disahkan meninggal dunia pada jam 4.26 petang.
Sabry berkata, Allahyarham mempunyai sejarah masalah tiroid dan mengambil ubat-ubatan bagi mengawal penyakit berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak menyangka keadaan kesihatan isterinya akan merosot sedemikian rupa kerana tiada gejala serius yang dapat dikesan sebelum kejadian itu.
“Saya memang tahu beliau mempunyai masalah tiroid dan mengambil ubat seperti biasa. Tetapi saya langsung tidak menyangka perkara seperti ini akan berlaku kerana beliau tidak menunjukkan simptom yang lebih serius,” katanya.
Jenazah Allahyarham dijadualkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Siding, Arau, selepas disolatkan pada jam 11 pagi hari ini.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta seluruh kepimpinan Pas atas pemergian wakil rakyat parti itu.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut merasai kehilangan besar berikutan pemergian Wan Badariah yang telah diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk mewakili kawasan Mata Ayer.
“Bagi pihak kerajaan negeri, kami berasa kehilangan besar. Kita doakan roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Kita juga mendoakan supaya keluarga Allahyarham diberikan ketenangan dan kesabaran menghadapi ujian ini,” katanya.
Untuk rekod, Wan Badariah memenangi kerusi DUN Mata Ayer pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas memperoleh 4,419 undi atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Siti Berenee Yahya yang memperoleh 2,398 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH), Amran Kamaruddin mendapat 794 undi.
Kemenangan itu menyaksikan Wan Badariah memperoleh majoriti 2,021 undi.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
