SEMARANG – Dunia sukan Indonesia diselubungi kesedihan apabila atlet pencak silat wanita, Ayudiah Rivana Tridiandinita, 19, meninggal dunia hanya beberapa jam selepas menjalani pembedahan bagi merawat kecederaan pada jari tengahnya.
Kematian mengejut atlet muda itu bukan sahaja mengejutkan keluarga dan komuniti sukan, malah menimbulkan persoalan mengenai keadaan kesihatannya selepas menjalani prosedur perubatan yang pada awalnya dilaporkan berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi.
Menurut laporan media Indonesia, Ayudiah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Primaya, Semarang, pada Rabu, 28 Oktober lalu, selepas dimasukkan ke hospital berkenaan akibat kecederaan ketika menyertai Sukan Wilayah Jawa Tengah 2026.
Insiden yang membawa kepada kematiannya bermula pada 26 Oktober ketika Ayudiah mewakili bandar Semarang dalam perlawanan suku akhir kategori wanita 45 hingga 50 kilogram menentang pesilat dari Kabupaten Batang.
Ketika perlawanan berlangsung, Ayudiah cuba menangkis tendangan pihak lawan menggunakan tangan. Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan jari tengahnya mengalami kecederaan sehingga pengadil terpaksa menghentikan perlawanan bagi membolehkan rawatan awal diberikan.
Jurulatihnya, Nurfaqih, pada mulanya memaklumkan kecederaan itu dipercayai hanya menyebabkan jari terkehel. Pemeriksaan sinar-X awal juga dilaporkan tidak menunjukkan tanda keretakan.
Namun, pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital dan penilaian perubatan selepas kejadian mendapati jari tengah atlet berkenaan mengalami keretakan atau patah, sekali gus memerlukan rawatan lebih lanjut.
Ayudiah kemudian dibawa ke Hospital Primaya berhampiran lokasi pertandingan selepas doktor memutuskan bahawa pembedahan perlu dilakukan bagi merawat kecederaan tersebut.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pengarah Hospital Primaya, Dr Aditya Nugraha, dilaporkan berkata prosedur pembedahan yang dilakukan sekitar jam 6 petang Selasa bukanlah pembedahan besar dan berjalan lancar.
Malah, Ayudiah berada dalam keadaan sedar sepenuhnya sebelum dipindahkan ke bilik pemulihan.
Sekitar jam 7.30 malam, pihak keluarga turut memaklumkan kepada barisan kejurulatihan bahawa pembedahan telah selesai tanpa sebarang komplikasi yang dilaporkan.
Bagaimanapun, keadaan atlet itu mula menimbulkan tanda tanya apabila kakitangan perubatan memberikan ubat kepadanya sekitar jam 11 malam sebelum dia direkodkan sedang tidur dan bernafas seperti biasa pada jam 3 pagi.
Tragedi berlaku kira-kira jam 5.30 pagi apabila kakitangan hospital datang untuk mengejutkannya, namun Ayudiah didapati tidak memberikan sebarang tindak balas.
Pemeriksaan mendapati atlet berusia 19 tahun itu tidak sedarkan diri, selain tidak menunjukkan denyutan jantung dan tanda pernafasan.
Usaha mendapatkan penjelasan mengenai kejadian itu kini menjadi tumpuan pihak polis Semarang yang mengesahkan sedang bekerjasama dengan doktor serta pihak pengurusan Hospital Primaya bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Bagaimanapun, keluarga Ayudiah dilaporkan tidak memberikan kebenaran untuk proses bedah siasat dilakukan. Keadaan itu menyebabkan pihak polis memberi tumpuan kepada pengumpulan keterangan pasukan perubatan, rekod rawatan serta maklumat berkaitan prosedur pembedahan yang dijalankan.
Jawatankuasa Sukan Kebangsaan Indonesia (KONI) Jawa Tengah turut menyatakan kesediaan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
Apa yang menambahkan kesedihan komuniti sukan Indonesia, kematian Ayudiah merupakan insiden kedua membabitkan atlet dalam Sukan Wilayah Jawa Tengah 2026.
Sebelum itu, atlet terjun dari Kabupaten Jepara, Syabilla Rizkia Putri Raharja, turut dilaporkan meninggal dunia ketika menyertai acara sukan berkenaan pada 25 Oktober.
Menurut laporan Voice of Indonesia, Syabilla mengalami keletihan sebelum lemas berdasarkan maklumat awal yang diberikan pihak penganjur dan pasukan perubatan.
Dua kematian dalam tempoh berdekatan itu pastinya memberikan tamparan kepada penganjuran temasya berkenaan, selain meningkatkan perhatian terhadap aspek keselamatan, pemantauan kesihatan dan kesiapsiagaan perubatan sepanjang pertandingan.
Setakat ini, punca kematian Ayudiah masih belum dapat dipastikan dan sebarang kaitan antara prosedur pembedahan dengan kematiannya tidak boleh dibuat tanpa hasil pemeriksaan serta penjelasan perubatan yang lengkap.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
