TENNESSEE – Seorang banduan hukuman mati di Amerika Syarikat (AS), Christa Pike, dilaporkan mula mampu berjalan semula selepas terselamat daripada pelaksanaan hukuman mati melalui suntikan maut yang gagal di Tennessee pada minggu lalu.
Peguamnya, Stephen Ferrell, berkata keadaan Pike, 50, semakin menunjukkan perkembangan positif, meskipun wanita itu masih berdepan masalah menumpukan perhatian serta kesan sampingan ubat yang digunakan dalam prosedur berkenaan.
Menurut Ferrell, Pike sudah mampu bangun dan berjalan buat kali pertama di dalam bilik hospitalnya, tetapi pergerakannya masih terhad.
“Dia sudah bangun dan berjalan hari ini, tetapi hanya di sekitar bilik dan tidak jauh,” katanya kepada BBC.
Bagaimanapun, perkembangan itu belum bermakna Pike pulih sepenuhnya kerana dia masih mengalami gangguan tumpuan dan kesukaran mengawal fokus ketika bercakap.
Ferrell berkata, anak guamnya turut mengalami masalah kognitif, termasuk mudah terlupa perkara yang ingin dilakukan. Tahap pemulihan jangka panjang Pike juga masih belum dapat dipastikan, khususnya kemungkinan berlakunya kecacatan kekal akibat prosedur suntikan maut itu.
Pike disabitkan kesalahan membunuh Colleen Slemmer pada 1995 ketika berusia 18 tahun. Kesalahan itu dilakukannya bersama teman lelakinya ketika itu, sebelum dia dijatuhi hukuman mati.
Pada 30 September lalu, pihak penjara Tennessee melaksanakan prosedur suntikan maut terhadap Pike dengan memberikan dua dos ubat pentobarbital. Namun, usaha berkenaan gagal mengakibatkan kematiannya, menyebabkan pihak berkuasa membawanya ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan kritikal.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Insiden itu mencetuskan persoalan serius mengenai pelaksanaan prosedur hukuman mati berkenaan, terutama selepas Pike dilaporkan mengalami komplikasi fizikal dan gangguan kognitif susulan pemberian ubat tersebut.
Pasukan peguamnya sebelum ini memaklumkan Pike sudah sedar dan boleh bercakap, namun masih berada dalam keadaan keliru serta mengalami ketidakstabilan emosi selepas kejadian itu.
Peguamnya, Randy Spivey, berkata kedua-dua tangan dan lengan Pike mengalami pembengkakan teruk sehingga menjejaskan keupayaannya untuk bergerak.
“Dia tidak dapat menggerakkan kedua-dua lengannya. Kedua-dua tangan dan lengannya membengkak dengan teruk dan kami masih tidak mengetahui tahap pemulihan yang mungkin dicapai,” katanya selepas prosiding mahkamah pada Rabu.
Walaupun Pike kini menunjukkan perkembangan apabila kembali mampu berjalan, keadaan sebenar kesihatannya masih memerlukan pemantauan, terutama berkaitan fungsi anggota badan dan keupayaan kognitif.
Kes berkenaan turut mendapat perhatian kerana kegagalan pelaksanaan suntikan maut itu mencetuskan persoalan mengenai kemungkinan percubaan hukuman mati semula terhadap banduan terbabit.
Mahkamah Tennessee dilaporkan mengarahkan semua bukti berkaitan prosedur yang gagal itu dipelihara, termasuk tiub intravena, picagari, bahan pembungkusan serta rekod mengenai keadaan fizikal dan psikologi Pike sebelum, semasa dan selepas pelaksanaan hukuman.
Arahan tersebut dilihat penting bagi membolehkan penelitian menyeluruh dilakukan terhadap prosedur berkenaan dan berpotensi menjadi asas kepada tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan peguam Pike menegaskan mereka menentang sebarang percubaan baharu untuk melaksanakan hukuman mati menggunakan kaedah suntikan yang sama.
Mereka turut menggesa Gabenor Tennessee, Bill Lee, menukar hukuman mati terhadap Pike kepada penjara seumur hidup tanpa kemungkinan parol.
Sementara itu, Lee mengarahkan semua pelaksanaan hukuman mati di Tennessee ditangguhkan sehingga akhir tahun bagi membolehkan siasatan dijalankan untuk mengenal pasti punca kegagalan prosedur berkenaan.
Ketua sistem penjara negeri itu juga dilaporkan meletakkan jawatan selepas insiden berkenaan.
Perkembangan terbaharu kes Pike kini menjadi tumpuan, bukan sahaja kerana kegagalan pelaksanaan hukuman mati itu, malah disebabkan kesan fizikal dan kognitif yang masih dialaminya serta persoalan mengenai tindakan seterusnya terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
