KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan siasatan khas atau jawatankuasa siasatan bebas bagi menyiasat dakwaan penerimaan wang rasuah kira-kira RM350,000 yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanan agensi itu.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, tindakan segera perlu diambil bagi memastikan kesahihan dakwaan berkenaan dapat ditentukan secara telus, profesional dan berakauntabiliti, sekali gus mengelakkan timbulnya pelbagai persepsi negatif terhadap institusi antirasuah negara.
Menurutnya, dakwaan yang merujuk kepada kejadian pada 13 November 2017 itu mula tersebar di media sosial sejak semalam.
Bagaimanapun, setakat pengetahuan MCW, belum ada penjelasan rasmi yang dapat disahkan mengenai status siasatan berhubung perkara itu.
Beliau berkata, SPRM perlu memberikan perhatian serius terhadap dakwaan itu kerana agensi berkenaan memikul tanggungjawab besar membanteras rasuah serta memelihara integriti dalam perkhidmatan awam.
“SPRM sebagai sebuah suruhanjaya yang sentiasa mempertahankan nilai integriti sewajarnya mengamalkan ketelusan, akauntabiliti dan bertindak pantas, di samping mengekalkan profesionalisme bagi meyakinkan rakyat,” katanya dalam kenyataan media.
Jais berkata, penubuhan pasukan siasatan khas penting bagi meneliti kesahihan dakwaan, mendapatkan keterangan saksi, menyemak bukti berkaitan serta menentukan sama ada siasatan pernah dijalankan sebelum ini.
Katanya, perkara itu juga perlu dimaklumkan segera kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan dakwaan berkenaan membabitkan pegawai kanan sebuah institusi yang bertanggungjawab memastikan usaha memerangi rasuah dilaksanakan dengan berkesan.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Beliau menegaskan, SPRM perlu berpegang teguh pada prinsip “whiter than white”, iaitu bukan sahaja bebas daripada salah laku, malah perlu memastikan setiap tindakannya mencerminkan imej institusi yang bersih, bebas, telus dan berintegriti.
Menurutnya, MCW tidak berniat menghukum mana-mana individu berdasarkan dakwaan yang tersebar di media sosial semata-mata. Namun, dakwaan serius yang berpotensi menjejaskan reputasi institusi antirasuah negara tidak seharusnya dibiarkan tanpa penjelasan sewajarnya.
“Sekiranya dakwaan terhadap pegawai terbabit tidak berasas, nama dan reputasinya perlu dibersihkan. Sebaliknya, jika terdapat bukti yang menunjukkan berlakunya kesalahan, tindakan tegas hendaklah diambil tanpa kompromi,” katanya.
Kata Jais, ketiadaan penjelasan yang jelas berhubung dakwaan itu berisiko menimbulkan pelbagai spekulasi, sekali gus boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap SPRM.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa berkenaan tampil memberikan penjelasan mengenai status perkara terbabit serta memastikan sebarang siasatan dilaksanakan secara bebas, menyeluruh dan berdasarkan bukti.
Katanya, ketelusan dalam menangani dakwaan sedemikian penting bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan, hak individu yang dikaitkan dengan tuduhan dilindungi dan integriti institusi terus dipertahankan.
“Rakyat perlu mengetahui dapatan siasatan. Kebenaran mesti ditegakkan dan integriti institusi mesti dipertahankan,” katanya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
