Masih ingat apa yang berlaku pada 7 Oktober 2023?
Tiga tahun lalu, dunia menyaksikan tercetusnya konflik yang kemudiannya mengubah kehidupan jutaan manusia. Gaza berdepan serangan udara dan operasi ketenteraan berskala besar yang membawa kemusnahan serta kehilangan nyawa.
Bangunan yang dahulunya berdiri megah, kini hanya tinggal runtuhan dan puing-puing. Rumah yang dahulunya meriah dengan gelak ketawa, kini hanya tinggal tapak yang dipenuhi kesunyian. Hospital yang dahulunya mampu merawat ribuan pesakit, kini berdepan keadaan kritikal dan tidak mampu lagi memenuhi keperluan jutaan penduduk.
Keluarga kehilangan insan tersayang. Hospital bergelut untuk terus beroperasi, manakala ramai penduduk terpaksa meninggalkan kediaman mereka untuk mencari perlindungan.
Sehingga 5 Oktober 2026, konflik yang berterusan di Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 73,914 nyawa, manakala 174,952 orang lagi dilaporkan cedera dan lebih 1.9 juta penduduk kehilangan tempat tinggal sejak konflik memuncak pada Oktober 2023.
Namun, kisah Palestin tidak hanya bermula pada 7 Oktober 2023 dan untuk memahami keadaan Gaza hari ini, kita perlu melihat kembali sejarah yang telah dilalui rakyat Palestin sejak puluhan tahun lalu.
Pada 1948, perang yang mengiringi penubuhan Israel menyebabkan lebih 700,000 rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal atau terpaksa meninggalkan tanah air dalam peristiwa yang dikenali sebagai Nakba, bermaksud “malapetaka”.
Kemudian pada 1967, Israel mula menduduki Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, dan Gaza selepas Perang Enam Hari.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurut rekod Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), pendudukan tersebut mencetuskan satu lagi gelombang perpindahan paksa rakyat Palestin yang dikenali sebagai An-Naksah, menyebabkan ratusan ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.
Dekad demi dekad berlalu. Konflik, perpindahan dan krisis kemanusiaan terus memberi kesan kepada kehidupan rakyat Palestin.
Sejak Oktober 2023, kehidupan di Gaza bertukar menjadi igauan ngeri yang tidak berpenghujung. Hujan bom dan peluru dari udara, darat dan laut meratakan apa sahaja, manakala penduduk pula terpaksa hidup berpindah-randah, lari dari satu tempat ke tempat lain tanpa tahu ke mana arah tuju.

Sejak hujung 2024, kesan perang ini mula diterjemahkan dalam bentuk angka yang meruntun hati. Data Biro Statistik Pusat Palestin (PCBS) menunjukkan populasi Gaza susut enam peratus dalam masa setahun. Lebih 45,000 nyawa terkorban, sementara yang tinggal pula berdepan masa depan gelap dengan kadar pengangguran mencecah 80 peratus.
Ada kalanya harapan itu muncul seketika. Gencatan senjata yang bermula 19 Januari 2025 sempat memberi ruang bernafas kepada rakyat di sana. Namun hakikatnya, ia tidak bertahan lama. Sejak Mac 2025, pintu sempadan bekalan kemanusiaan ditutup semula, dan bom kembali berdentum.
Kemuncak kepada penderitaan itu disahkan pada 22 Ogos 2025. Buat pertama kalinya, badan dunia di bawah Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) mengisytiharkan kebuluran rasmi di Gaza. Lebih setengah juta penduduk berdepan keadaan kelaparan yang dikategorikan sebagai bencana.
Gencatan senjata sekali lagi diisytiharkan pada 10 Oktober 2025, membawa harapan dan doa agar penderitaan rakyat Gaza akhirnya bernoktah. Namun, hampir setahun kemudian, kehilangan nyawa, kecederaan dan dan kemusnahan masih terus dilaporkan.
Hampir setahun selepas gencatan senjata Oktober 2025, kehidupan rakyat Gaza masih jauh daripada normal.
Menurut Islamic Relief, setakat 5 Oktober 2026, kematian dan kecederaan dilaporkan terus berlaku dengan 1,358 orang terbunuh dan 4,541 lagi cedera. Angka ini menunjukkan bahawa meskipun gencatan senjata telah dilaksanakan, kehilangan nyawa dan penderitaan rakyat Gaza masih berterusan.
Gencatan senjata yang sepatutnya menjadi pelindung terus dicabuli, dan nyawa penduduk Gaza kekal menjadi taruhan.
Sehingga hari ini, ramai keluarga masih tinggal di khemah dan pusat perlindungan sementara. Ada yang bakal menghadapi musim sejuk keempat mereka dengan hanya helaian plastik sebagai perlindungan.
Di sebalik angka-angka ini, ada kehidupan yang telah berubah selama-lamanya. Ada keluarga yang kehilangan rumah. Seperti yang diluahkan oleh Sameer, seorang petugas Islamic Relief:
“Apabila saya keluar berjalan bersama anak-anak, setiap kali ada kereta yang berhenti di sebelah, saya bimbang akan berlaku serangan. Malah di rumah pun, ada ketakutan pada setiap detik…”
Ada ibu bapa yang setiap hari memikirkan bagaimana mendapatkan makanan buat anak-anak di tengah krisis kebuluran dan harga barang yang melambung tinggi. Layla, seorang lagi petugas Islamic Relief, turut menyifatkan keadaan di sana:
“Rakyat di sini masih kebuluran, masih ketiadaan bekalan perubatan. Ada yang kekurangan ubat diabetes dan ada pesakit kronik tidak dapat mencari ubat mereka…”
Ada kanak-kanak yang sepatutnya membesar dengan buku, permainan dan sekolah, tetapi mengenali kehidupan melalui perpindahan, kehilangan dan ketidakpastian di mana ribuan keluarga terpaksa berhimpit di kawasan terhad dan khemah pelarian yang rapuh.
Apa yang mereka perlukan adalah keperluan paling asas seperti makanan, air bersih, ubat-ubatan, tempat yang selamat untuk berlindung dan peluang untuk membina semula kehidupan.
Ketika perhatian dunia datang dan pergi, Islamic Relief terus bersama rakyat Palestin. Sejak 1997, Islamic Relief telah menjalankan kerja-kerja kemanusiaan di Wilayah Palestin yang Diduduki, dengan memberi tumpuan kepada keperluan asas serta pemulihan, pembangunan dan ketahanan komuniti.

Sejak konflik kembali memuncak pada Oktober 2023, lebih 600,000 keluarga di Gaza telah menerima sokongan daripada Islamic Relief, termasuk bekalan perubatan, air bersih, kit kebersihan serta bantuan dalam bidang kesihatan, pendidikan dan psikososial.
Di Malaysia, Islamic Relief Malaysia menjalankan kempen Rayuan Palestin setiap tahun bagi menyokong penyaluran bantuan kecemasan seperti makanan, bekalan perubatan, air bersih, kemudahan air, sanitasi dan kebersihan serta bantuan lain mengikut keperluan di lapangan.
Tiga tahun mungkin terasa singkat bagi kita. Namun bagi rakyat Gaza, tiga tahun adalah perjalanan panjang yang dipenuhi kehilangan, penderitaan dan perjuangan untuk terus hidup. Berita tentang Gaza mungkin tidak lagi memenuhi skrin seperti dahulu, tetapi penderitaan rakyat Palestin tidak pernah berhenti apabila perhatian dunia beralih.
Tiga tahun kehilangan. Tiga tahun berpindah-randah. Tiga tahun menunggu kehidupan kembali seperti dahulu.
Kita mungkin tidak mampu mengembalikan apa yang telah hilang, tetapi kita masih mampu memastikan mereka tidak berdepan hari-hari mendatang secara sendirian.
Teruskan bersama rakyat Palestin melalui Rayuan Palestin Islamic Relief Malaysia.
Bantuan yang kita hulurkan hari ini mungkin menjadi harapan untuk mereka meneruskan kehidupan hari esok.
Orang ramai yang ingin menyokong Rayuan Palestin boleh menyalurkan sumbangan melalui laman web www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk info lanjut.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
