Pojok: Sekolah Selamat, Benarkah?

Oleh: Editorial ND

SEKOLAH sepatutnya jadi tempat paling selamat selepas rumah. Tapi, apabila ibu bapa mula hantar anak ke sekolah dengan doa mereka pulang dalam keadaan selamat, kita perlu tanya sesuatu yang lebih besar daripada sekadar “siapa pembuli?”

Dalam tempoh kira-kira dua tahun, empat nama – Zara Qairina Mahathir, Yap Shing Xuen, Muhammad Idlan Fareeq Shahril dan terbaharu, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal dilaporkan jadi sebahagian daripada tragedi yang mengundang persoalan besar mengenai keselamatan pelajar di sekolah.

Benar, keadaan dan punca setiap kes berbeza dan tidak semuanya boleh diputuskan sebagai kematian akibat buli sebelum siasatan selesai. Tapi, apabila setiap tragedi kembali membawa kita kepada isu buli, keganasan dan keselamatan pelajar, kita tidak lagi boleh anggapnya sebagai kebetulan, dan berlalu begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Yang lebih membimbangkan ialah kita sering bertindak selepas tragedi berlaku. Apabila seorang pelajar meninggal dunia, barulah mesyuarat diadakan. Barulah garis panduan disebut. Barulah kempen dilancarkan. Barulah semua pihak bercakap mengenai keselamatan sekolah.

Selepas beberapa minggu, perhatian masyarakat reda dan kita kembali kepada rutin biasa sehinggalah berlaku tragedi berikutnya.

Di sinilah masalah sebenar kita. Adakah kita punyai sistem pencegahan yang benar-benar berfungsi atau kita sebenarnya hanya punyai sistem tindak balas selepas sesuatu yang buruk berlaku?

Kita ada guru disiplin, ada kaunselor, ada warden, ada pentadbir sekolah, ada Pegawai Perhubungan Sekolah dan ada pelbagai garis panduan kementerian.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Tapi persoalannya, adakah semua mekanisme itu benar-benar sampai kepada pelajar yang dalam ketakutan, tertekan atau menjadi mangsa?

Buli pula bukan sekadar tumbuk atau tendang. Ia boleh bermula dengan ejek, hina, pulau, ugut dan gangguan siber. Kadangkala mangsa tidak mempunyai lebam pada tubuh, tetapi bawa luka yang jauh lebih dalam.

Lebih menyedihkan apabila rakan yang menyaksikan kejadian memilih untuk merakam daripada mencari guru atau bantu mangsa. Selepas itu video disebarkan dan penderitaan mangsa menjadi hiburan.

Apakah yang kita sedang ajar kepada anak-anak? Yang kuat berhak menindas yang lemah? Bahawa penghinaan boleh menjadi hiburan? Penderitaan orang lain boleh dijadikan kandungan untuk mendapatkan tontonan?

Jangan pula kita terlalu mudah salahkan filem, drama atau media sosial. Teknologi bukan punca segala-galanya. Tapi kita juga tidak boleh nafikan pengaruh persekitaran digital terhadap cara anak-anak melihat kekerasan, populariti dan kuasa.

Begitu juga jangan cepat menuduh generasi hari ini tidak berdisiplin. Disiplin memang penting, tapi seorang remaja tidak terbentuk di sekolah sahaja. Mereka dibentuk oleh keluarga, rakan sebaya, persekitaran dan nilai yang dilihat setiap hari.

Maka, ibu bapa juga perlu bertanya kepada diri sendiri: adakah kita cukup mengenali anak kita?

Anak yang tiba-tiba takut ke sekolah, berubah perangai, jadi pendiam, kehilangan barang, prestasi merosot atau takut terhadap seseorang mungkin sedang menghantar isyarat yang tidak mampu dilafazkan.

Jangan tunggu anak datang dengan lebam baru kita mahu percaya.

Sekolah pula perlu berani menerima hakikat bahawa mempunyai kes buli tidak bermakna sekolah itu gagal. Yang gagal ialah sekolah yang mengetahui masalah, tetapi memilih untuk mendiamkannya kerana takut nama tercalar.

Nama baik sekolah tidak terletak pada jumlah kes yang berjaya disembunyikan. Nama baik sekolah terletak pada keberanian melindungi murid apabila berlaku masalah.

Kementerian Pendidikan juga perlu melihat semula sistem yang ada. Jangan hanya tambah satu lagi garis panduan, satu lagi kempen atau satu lagi poster antbuli. Yang diperlukan ialah sistem amaran awal yang mampu kesan pelajar berisiko, saluran aduan yang benar-benar dipercayai dan tindakan pantas apabila laporan dibuat.

Polis pula tidak seharusnya hanya dilihat selepas jenayah berlaku. Hubungan dengan sekolah perlu diperkukuh supaya pelajar tahu ke mana mereka harus pergi apabila berdepan ancaman serius.

Dan, masyarakat? Jangan menjadi penonton saja. Jika tahu berlaku buli, laporkan. Jika terima video keganasan, jangan sebarkan. Jika kes sedang disiasat, jangan jadikan media sosial sebagai mahkamah.

Empat nama sudah cukup untuk kita berhenti seketika. Allahyarham Zara Qairina, mendiang Yap Shing Xuen, Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq dan Allahyarham Irene Sofiya.

Kita mungkin boleh berdebat mengenai punca setiap tragedi. Kita boleh menunggu hasil siasatan. Kita boleh tentukan siapa bersalah melalui proses undang-undang.

Tapi, satu perkara tidak perlu tunggu siasatan. Anak-anak kita mesti selamat di sekolah. Itu bukan permintaan yang luar biasa. Itu hak paling asas seorang murid, dan itu juga amanah paling besar yang dipikul oleh sekolah, kementerian, ibu bapa, pihak berkuasa dan seluruh masyarakat.

Jangan sampai kita hanya benar-benar faham makna “sekolah selamat” selepas nama kelima pula muncul di halaman depan akhbar. – ND

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *