Oleh: Editorial ND
SEKOLAH sepatutnya menjadi tempat paling selamat selepas rumah. Setiap pagi, ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan kepercayaan mereka berada dalam persekitaran dilindungi, diajar dan diawasi.
Mereka mungkin bimbang mengenai keputusan peperiksaan, pergaulan atau disiplin anak, tetapi tidak sepatutnya hidup dalam ketakutan anak mereka mungkin menjadi mangsa keganasan ketika berada di sekolah. Namun, kebimbangan itu kini semakin sukar diketepikan.
Dalam tempoh kira-kira dua tahun, empat nama iaitu Zara Qairina Mahathir, Yap Shing Xuen, Muhammad Idlan Fareeq Shahril dan terbaharu, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, menjadi perhatian masyarakat susulan tragedi kematian yang berlaku dalam persekitaran sekolah dan mencetuskan persoalan mengenai buli, keganasan serta keselamatan pelajar.
Semua kes ini mempunyai keadaan dan perkembangan siasatan berbeza mengikut yang ditentukan pihak berkuasa. Tetapi, apabila tragedi berulang kali berlaku, membawa kita kembali kepada persoalan yang sama, iaitu keselamatan pelajar dan kemungkinan unsur buli.
Maka, sudah tiba masanya isu ini dilihat sebagai persoalan nasional, bukan lagi kes terpencil. Persoalan besarnya ialah bagaimana sesuatu yang sepatutnya bermula sebagai masalah disiplin atau konflik antara pelajar boleh berkembang sehingga mengancam keselamatan dan nyawa?
Kesilapan paling besar ialah melihat buli hanya apabila terdapat tumbukan, tendangan atau kecederaan. Sedangkan, buli boleh bermula dengan ejekan dan penghinaan, kemudian berkembang kepada pemulauan, ugutan, pemerasan, gangguan siber atau penyebaran bahan yang memalukan mangsa.
Dalam dunia digital, gangguan juga tidak berakhir apabila loceng sekolah berbunyi. Mangsa boleh terus diganggu melalui telefon dan media sosial selepas pulang ke rumah.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Lebih membimbangkan ialah budaya merakam kejadian. Apabila pergaduhan berlaku, sesetengah pelajar memilih untuk mengeluarkan telefon dan merakam daripada mendapatkan bantuan. Video kemudian tersebar dan penderitaan mangsa menjadi tontonan umum.
Sebab itu pendidikan mengenai buli tidak boleh berhenti pada nasihat supaya “jangan memukul”. Pelajar perlu memahami sempadan antara gurauan dan penghinaan, antara konflik biasa dan buli berulang serta tanggungjawab seorang saksi untuk mendapatkan bantuan apabila melihat rakan terancam.
Apabila berlaku kes serius, mudah untuk mengatakan pelajar hari ini kurang disiplin, terlalu terpengaruh dengan media atau tidak menghormati guru. Disiplin memang penting, tetapi penjelasan itu tidak memadai.
Tingkah laku remaja terbentuk daripada banyak faktor iaitu keluarga, rakan sebaya, budaya sekolah, persekitaran sosial dan dunia digital. Filem, drama atau media sosial tidak boleh dianggap sebagai punca tunggal, tetapi pengaruh kandungan yang menormalisasikan penghinaan, keganasan atau budaya mempermalukan orang lain tidak boleh diabaikan.
Persoalan lebih berguna bukan sekadar mengapa seorang pelajar membuli, tetapi bagaimana persekitaran sekeliling membolehkan tingkah laku itu berterusan tanpa dikesan atau dihentikan lebih awal.
Ibu bapa tidak boleh menyerahkan seluruh tanggungjawab kepada sekolah. Mereka perlu peka terhadap perubahan anak, terutama apabila anak tiba-tiba takut ke sekolah, menjadi terlalu pendiam atau agresif, prestasi merosot, tidur terganggu, kehilangan barang atau kelihatan takut terhadap individu tertentu.
Lebih penting ialah membina suasana di rumah yang membolehkan anak bercakap tanpa takut dipersalahkan. Anak yang memberitahu dirinya dibuli tidak sepatutnya terus ditanya mengapa dia tidak melawan atau mengapa dia membiarkan perkara itu berlaku. Dia perlu diyakinkan bahawa mendapatkan bantuan ialah tindakan yang betul.
Pada masa sama, ibu bapa perlu mendidik anak agar tidak menjadi pembuli, termasuk mengajar empati, kawalan emosi, menghormati batas orang lain dan memahami kekuatan bukan diukur melalui kemampuan menakutkan orang lain.
Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyediakan garis panduan dan mekanisme pengurusan buli. Cabaran sebenar ialah pelaksanaannya.
Setiap aduan perlu mempunyai rekod, siasatan dan tindakan susulan yang jelas. Mangsa dan saksi perlu dilindungi daripada tindakan balas, manakala pelajar melakukan kesalahan perlu melalui proses disiplin atau undang-undang bersesuaian.
Sekolah juga perlu mengenal pasti kawasan dan situasi berisiko, khususnya di asrama, tandas, tangga, koridor dan lokasi yang kurang pengawasan. Guru, warden dan kaunselor perlu mempunyai latihan serta kapasiti untuk mengenal pasti tanda awal sebelum sesuatu konflik berkembang menjadi keganasan.
Yang penting, sekolah tidak boleh mengukur kejayaan berdasarkan jumlah kes dilaporkan semata-mata. Sekolah yang baik bukan sekolah kelihatan tiada masalah, tetapi sekolah yang mempunyai sistem untuk mengesan, menerima dan menyelesaikan masalah sebelum menjadi tragedi.
Jika empat tragedi dalam tempoh kira-kira dua tahun terus mencetuskan kebimbangan yang sama, KPM wajar menilai semula keberkesanan keseluruhan sistem perlindungan murid.
Audit keselamatan buli secara nasional boleh dipertimbangkan, bukan sekadar memeriksa kewujudan buku panduan atau jawatankuasa sekolah, tetapi untuk menilai pengalaman sebenar pelajar, guru dan ibu bapa.
Adakah pelajar tahu kepada siapa mereka perlu membuat aduan? Adakah mereka yakin laporan akan diambil serius? Adakah mereka dilindungi daripada tindakan balas? Adakah guru dan warden cukup terlatih? Adakah kaunselor mempunyai masa dan sumber untuk menangani pelajar berisiko? Dan, apabila kes serius berlaku, adakah prosedur rujukan kepada polis berjalan pantas?
Jawapan kepada soalan ini lebih penting daripada sekadar menambah satu lagi kempen antbuli.
Polisperlu terus menjadi rakan strategik sekolah, bukan hanya muncul selepas sesuatu kes berubah menjadi jenayah. Pelajar perlu tahu saluran mendapatkan bantuan apabila berdepan ancaman serius, manakala guru perlu jelas bila sesuatu kes perlu dirujuk kepada pihak berkuasa.
Masyarakat pula perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga. Jika mengetahui berlakunya buli, jangan berdiam diri. Jika menerima rakaman keganasan, jangan menyebarkannya. Jika sesuatu kes sedang disiasat, jangan menggantikan proses undang-undang dengan hukuman melalui media sosial.
Keadilan kepada mangsa tidak bermakna kita boleh menghukum sesiapa berdasarkan dakwaan yang belum disahkan.
Allahyarham Zara Qairina Mahathir, mendiang Yap Shing Xuen, Allahyarham Muhammad Idlan Fareeq Shahril dan Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal ialah empat nama yang kini menjadi sebahagian daripada perbincangan besar mengenai keselamatan anak di sekolah.
Kita mungkin tidak dapat mengubah apa yang telah berlaku kepada mereka. Tetapi tragedi itu sepatutnya memaksa negara melihat semula bagaimana sekolah mengesan buli, bagaimana aduan ditangani, bagaimana mangsa dilindungi dan bagaimana pelajar menunjukkan kecenderungan ganas dibimbing atau dikenakan tindakan sewajarnya.
Kita juga perlu berhenti melihat buli sebagai masalah kecil yang akan hilang apabila pelajar meningkat dewasa. Dalam keadaan tertentu, ia boleh menjadi pintu kepada penderaan, trauma dan keganasan yang serius.
Sekolah mesti menjadi tempat selamat bukan hanya dalam slogan, tetapi dalam pengalaman sebenar setiap pelajar. Ibu bapa mesti mempunyai keyakinan apabila anak mereka melangkah masuk ke pintu pagar sekolah, ada sistem akan melindungi mereka.
Pelajar pula mesti tahu apabila mereka bersuara, mereka akan didengar dan dilindungi, bukannya dihukum kerana melaporkan masalah.
Empat tragedi seharusnya sudah cukup untuk membuka mata semua pihak. Jangan tunggu nama kelima sebelum kita bertanya sekali lagi mengapa sekolah yang dibina untuk mendidik dan melindungi anak-anak boleh gagal memastikan mereka pulang dengan selamat.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
