Dari Peguam Nor Zabetha
SEMPADAN negara bukan sekadar garisan yang memisahkan sesebuah negara daripada negara lain, sebaliknya membabitkan soal keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara yang perlu dipelihara dengan tegas.
Kegagalan mengawal sempadan dengan berkesan boleh membuka ruang kepada pelbagai kegiatan jenayah, termasuk penyeludupan dadah, barangan terlarang dan barangan kontraban, penyeludupan migran, pemerdagangan orang serta kemasukan individu secara tidak sah.
Malah, kelemahan kawalan juga boleh dieksploitasi untuk kegiatan pemalsuan dokumen dan identiti, operasi sindiket jenayah terancang, kegiatan orang tengah serta rasuah yang membabitkan pegawai penguat kuasa.
Justeru, setiap tugasan berkaitan kawalan dan perlindungan sempadan memerlukan ketegasan, keberanian dan integriti yang tinggi.
Tanggungjawab tersebut bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana sebarang kelemahan boleh memberikan kesan besar terhadap keselamatan negara.
Dalam konteks ini, saya percaya ramai sudah menonton video Datuk Seri Suhaily Mohd Zain yang tular di media sosial serta membaca laporan polis dikongsikan kepada umum.
Perkara ini menimbulkan pelbagai persoalan, bukan sahaja berkaitan dakwaan perlakuan fizikal yang berlaku, tetapi juga mengenai penyebaran rakaman CCTV dan hak undang-undang pihak terlibat.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Dalam kenyataan medianya, Datuk Seri Suhaily menjelaskan kejadian berdasarkan versinya sendiri. Beliau juga tidak menafikan individu dipaparkan dalam video berkenaan ialah dirinya, malah mengakui perbuatannya dan menyatakan kesediaan untuk menerima akibat daripada tindakan tersebut.
Antara kenyataan beliau ialah:
“Seperti mana tuan-tuan selalu lihat dalam saya punya klip-klip video di sosial media, saya menyatakan saya tidak sempurna. I have said that many times.
“And today, I’m standing in front of you, I’m owning and facing my incompleteness.
“Saya pun telah memaklumkan peringkat tertinggi kerajaan dan kementerian perihal perkara ini. Justeru, keputusan mereka, saya terima kerana untuk mengubah sesuatu ianya mempunyai harga dan sekiranya harga itu adalah diri saya, maka saya bayar dengan diri saya.”
Kenyataan ini menunjukkan beliau bersedia berhadapan dengan akibat daripada tindakannya. Bagaimanapun, dari sudut undang-undang, pengakuan terhadap sesuatu perbuatan tidak bermaksud semua persoalan berkaitan kejadian itu, termasuk kemungkinan berlakunya kesalahan jenayah atau hak pihak lain, terjawab secara automatik.
Berdasarkan kenyataan Datuk Seri Suhaily, laporan polis serta rakaman CCTV yang tersebar, timbul dakwaan berhubung tindakan fizikal dalam kejadian tersebut.
Persoalannya, jika pengadu mendakwa dirinya menjadi mangsa serangan, apakah hak boleh digunakan dan apakah tindakan undang-undang berkemungkinan dihadapi Datuk Seri Suhaily?
Dari sudut jenayah, sekiranya siasatan mendapati terdapat bukti mencukupi seseorang dengan sengaja menyebabkan kecederaan, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, hukumannya ialah penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, pemakaian seksyen tersebut bergantung pada fakta kejadian, bukti diperoleh dan hasil siasatan pihak berkuasa. Tidak semua tindakan fizikal secara automatik memenuhi unsur kesalahan di bawah seksyen berkenaan.
Dari sudut sivil pula, individu mendakwa dirinya menjadi mangsa serangan atau sentuhan fizikal yang menyalahi undang-undang boleh mempertimbangkan tindakan di bawah undang-undang tort, termasuk tuntutan berkaitan assault and battery, bagi mendapatkan ganti rugi.
Dalam menentukan sama ada sesuatu tuntutan mempunyai asas, mahkamah perlu meneliti fakta kejadian, bukti dikemukakan serta unsur undang-undang perlu dibuktikan. Kedudukan setiap pihak juga perlu dinilai berdasarkan keadaan sebenar, bukan semata-mata persepsi terbentuk melalui video tular.
Selain kemungkinan tindakan jenayah dan sivil, Datuk Seri Suhaily juga berkemungkinan berhadapan dengan prosiding tatatertib sebagai penjawat awam, tertakluk pada peraturan terpakai dan keputusan pihak berkuasa berkaitan.
Di sebalik dakwaan berkaitan kejadian fizikal itu, satu lagi persoalan wajar diberikan perhatian ialah bagaimana rakaman CCTV tersebut diperoleh dan bagaimana ia boleh tersebar kepada umum.
Berdasarkan pengalaman saya sendiri dalam mengendalikan perkara melibatkan rakaman CCTV, mendapatkan rakaman sedemikian bukanlah sesuatu yang semestinya mudah.
Dalam sesetengah kes, walaupun permohonan rasmi melalui surat telah dikemukakan bagi pihak anak guam, pihak menyimpan rakaman masih memerlukan perintah mahkamah sebelum membenarkan salinan diberikan.
Ada pihak memberikan kerjasama, manakala ada juga tidak dapat memenuhi permohonan tersebut tanpa proses undang-undang tertentu.
Sementara menunggu prosiding dan perintah mahkamah, antara langkah boleh diambil ialah mengemukakan permohonan kepada pihak yang menyimpan rakaman supaya bahan berkenaan dipelihara.
Tujuannya untuk memastikan rakaman itu tidak dipadamkan atau ditindih oleh rakaman baharu (overwritten) sementara proses mendapatkan akses melalui saluran undang-undang berjalan.
Oleh itu, apabila rakaman CCTV sesuatu kejadian tersebar, persoalan mengenai cara rakaman itu diperoleh wajar diteliti. Dalam kes ini, rakaman yang tular kelihatan seperti dirakam menggunakan telefon lain ketika paparan CCTV sedang dimainkan, bukannya diperoleh dalam bentuk fail rakaman asal. Perkara ini menimbulkan beberapa persoalan yang memerlukan penjelasan.
Antaranya, siapakah diberikan akses untuk melihat rakaman CCTV tersebut ketika atau selepas kejadian? Adakah individu berkenaan mempunyai kebenaran untuk merakam paparan CCTV menggunakan telefon? Adakah terdapat prosedur tertentu perlu dipatuhi sebelum rakaman boleh dilihat, disalin atau dirakam semula?
Seterusnya, siapakah yang mula-mula menyebarkan video tersebut dan melalui saluran apakah rakaman itu disebarkan sehingga menjadi tular?
Persoalan ini bukan bertujuan untuk mengetepikan dakwaan terhadap kejadian asal atau menafikan kepentingan siasatan. Sebaliknya, ia menyentuh satu aspek lain yang juga wajar diberikan perhatian, iaitu cara bahan rakaman diperoleh dan disebarkan serta sama ada terdapat sebarang pelanggaran hak atau peraturan dalam proses tersebut.
Datuk Seri Suhaily mendakwa penyebaran video berkenaan berkemungkinan bertujuan mencemarkan imej dan reputasinya. Persoalannya, apakah hak boleh dipertimbangkan sekiranya benar terdapat pihak menyebarkan rakaman itu dengan niat untuk menjatuhkan reputasi beliau?
Sekiranya terdapat asas mencukupi selepas meneliti fakta dan bukti, Datuk Seri Suhaily boleh mendapatkan nasihat undang-undang mengenai kemungkinan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab atas penyebaran tersebut.
Bagaimanapun, tindakan sedemikian tidak boleh dibuat hanya berdasarkan andaian bahawa penyebaran video itu bertujuan memburukkan namanya.
Perlu dibezakan antara rakaman yang menunjukkan kejadian sebenar dengan cara rakaman tersebut disampaikan, konteks diberikan dan dakwaan mengiringi penyebarannya.
Sesuatu rakaman mungkin menggambarkan peristiwa yang benar-benar berlaku, tetapi persoalan lain boleh timbul jika rakaman itu disunting, dipersembahkan di luar konteks atau disertai kenyataan tidak benar sehingga menjejaskan reputasi seseorang.
Pada masa sama, penyebaran rakaman yang benar tidak dengan sendirinya membuktikan berlakunya fitnah atau memberikan hak automatik untuk menuntut ganti rugi.
Penilaian undang-undang perlu mengambil kira kandungan rakaman, kenyataan dibuat oleh pihak menyebarkannya, konteks penerbitan serta unsur diperlukan bagi membuktikan sesuatu tuntutan.
Sekiranya terdapat kenyataan memenuhi unsur fitnah atau perbuatan lain melanggar undang-undang, pihak terkesan boleh mempertimbangkan tindakan sivil berdasarkan fakta kes. Namun, kejayaan sesuatu tuntutan bergantung pada bukti dan asas undang-undang yang dapat dikemukakan.
Dalam hal ini, terdapat dua perkara perlu dinilai secara berasingan. Pertama, dakwaan mengenai tindakan fizikal yang berlaku dan hak pengadu untuk mendapatkan keadilan.
Kedua, persoalan mengenai cara rakaman CCTV diperoleh serta kemungkinan pelanggaran hak atau perbuatan yang menjejaskan reputasi Datuk Seri Suhaily melalui penyebarannya.
Kedua-dua perkara ini boleh mempunyai implikasi undang-undang yang berbeza. Hak pengadu untuk membuat laporan atau mengambil tindakan berhubung dakwaan serangan tidak semestinya terhapus hanya kerana rakaman berkenaan tersebar.
Begitu juga, kewujudan rakaman sebenar tidak bermaksud semua bentuk penyebarannya secara automatik dibenarkan atau kebal daripada penelitian undang-undang.
Dalam sesuatu kejadian yang mendapat perhatian masyarakat, kita tidak seharusnya melihat isu ini daripada satu sudut sahaja. Dakwaan terhadap perlakuan fizikal perlu disiasat secara adil berdasarkan bukti, manakala persoalan mengenai akses dan penyebaran rakaman CCTV juga perlu diteliti sekiranya terdapat asas untuk berbuat demikian.
Jika pengadu mendakwa dirinya menjadi mangsa serangan, haknya untuk mendapatkan keadilan perlu dihormati. Pada masa sama, sekiranya Datuk Seri Suhaily mempunyai bukti rakaman atau kenyataan tertentu disebarkan dengan cara melanggar undang-undang dan menjejaskan reputasinya, beliau juga berhak mendapatkan nasihat undang-undang serta mempertimbangkan tindakan bersesuaian.
Apa yang penting, setiap dakwaan dinilai berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang yang berkaitan, bukannya semata-mata sentimen atau tanggapan orang ramai di media sosial.
Akhirnya, persoalan perlu dijawab bukan hanya apa yang berlaku dalam rakaman CCTV tersebut, tetapi juga bagaimana rakaman itu diperoleh, siapa bertanggungjawab menyebarkannya dan sama ada tindakan berkenaan mematuhi undang-undang.
Ketegasan dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara perlu berjalan seiring dengan integriti dalam melaksanakan tugas. Begitu juga, usaha menegakkan keadilan perlu memastikan hak setiap pihak dihormati, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau pengaruh seseorang.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
