PRU16: Semua Mahu Bergabung, Tapi Siapa Mahu Mengalah?

Dari Editorial ND

POLITIK Malaysia menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) semakin memperlihatkan satu paradoks.

Semua parti mahu menang. Semua mahu membentuk kerajaan, dan hampir semua menyedari untuk mencapai matlamat itu, mereka mungkin memerlukan rakan.

Tetapi, apabila sampai kepada persoalan siapa dapat banyak kerusi, siapa menjadi Perdana Menteri dan siapa pula mendapat kerusi Timbalan Perdana Menteri, semangat untuk bergabung tiba-tiba menjadi lebih rumit.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Inilah wajah sebenar politik menjelang PRU16. Bukan soal siapa mahu berkawan. Persoalannya, berapa harga perlu dibayar untuk persahabatan politik itu?

PRU15 sepatutnya menjadi pengajaran paling jelas. Keputusan pilihan raya itu menunjukkan tiada satu gabungan memperoleh majoriti mudah untuk bentuk kerajaan secara bersendirian. Akhirnya, kerajaan dibentuk melalui kerjasama beberapa parti dan gabungan.

Pengalaman itu menyebabkan parti-parti politik kini berfikir lebih jauh. Mereka tidak mahu menunggu sehingga keputusan pilihan raya diumumkan sebelum mencari rakan untuk membentuk kerajaan.

Seboleh-bolehnya, persefahaman itu mahu dimuktamadkan sebelum hari mengundi. Logiknya mudah, kalau pertandingan tiga atau empat penjuru menyebabkan undi berpecah, mengapa tidak bergabung?

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Kalau dua parti mempunyai kekuatan di kawasan berbeza, mengapa tidak membahagikan kerusi? Kalau masing-masing mempunyai jentera, penyokong dan kawasan pengaruh, mengapa tidak digabungkan kekuatan itu?

Tetapi, politik bukan matematik semata-mata. Satu tambah satu tidak semestinya menjadi dua dalam pilihan raya.

Kadang-kadang satu parti membawa undi yang lain tidak boleh bawa. Kadang-kadang pula pengundi sebuah parti tidak semestinya sanggup mengundi calon daripada parti rakannya.

Di sinilah masalah sebenar bermula. Lihat sahaja perkembangan hubungan antara blok politik utama. BN mahu memperkukuh kedudukannya. PAS pula mahu pastikan kekuatan politiknya diterjemahkan kepada kerusi dan pengaruh.

Bersatu pula perlu menentukan kedudukan serta masa depannya dalam percaturan PN. PH mahu mempertahankan kerajaan yang dibentuk selepas PRU15.

Dalam keadaan seperti ini, tidak ada mana-mana parti pun mahu jadi sekadar penumpang. Parti yang mempunyai kekuatan mahu kekuatannya diiktiraf. Parti yang mempunyai kerusi mahu kerusinya dihargai. Parti yang mempunyai jentera mahu sumbangannya diambil kira, dan parti yang mempunyai pengaruh pengundi mahu pengaruh itu diterjemahkan kepada kedudukan dalam kerajaan.

Maka bermulalah tawar-menawar. Aku beri kerusi ini, kamu beri kerusi itu. Aku bantu kamu di kawasan ini, kamu jangan masuk kawasan aku. Kalau kamu mahu aku sokong calon Perdana Menteri kamu, apa yang aku dapat selepas kerajaan dibentuk?

Inilah bahasa sebenar rundingan politik. Persoalan pembahagian kerusi mungkin menjadi isu paling sensitif dalam sebarang rundingan menjelang PRU16.

Kerusi bukan sekadar angka. Satu kerusi mungkin mewakili bertahun-tahun usaha membina jentera. Ia mungkin kawasan tradisi parti. Ia mungkin kawasan yang dimenangi dengan majoriti besar. Atau ia mungkin kerusi marginal yang boleh menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan.

Sebab itu sukar untuk meminta sebuah parti menyerahkan kerusi dengan alasan, “Kita kan kawan.” Dalam politik, persahabatan mempunyai had.

Jika sebuah parti mempunyai lima kawasan kuat dan diminta memberikan semuanya kepada rakan, sedangkan sebagai balasan hanya diberikan satu kawasan yang sukar dimenangi, itu bukan lagi kerjasama yang seimbang.

Ia boleh dilihat sebagai hubungan antara pemberi dan penerima. Lebih buruk, parti yang terlalu banyak mengalah mungkin berdepan kemarahan akar umbi sendiri.

Ahli parti akan bertanya: Mengapa kawasan kita diserahkan? Mengapa calon kita diketepikan? Mengapa kita perlu bekerja keras untuk memenangkan calon parti lain? Dan, paling sukar dijawab: Selepas kita bantu mereka menang, apa yang kita dapat?

Itulah sebabnya pembahagian kerusi perlu berasaskan formula yang dapat diterima semua pihak. Bukan semestinya 50:50. Tetapi, juga bukan formula yang menyebabkan satu pihak menjadi terlalu dominan dan pihak lain sekadar menjadi alat.

Kalau pembahagian kerusi sudah sukar, soal jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri lagi lebih sukar. Sebuah parti mungkin bersedia menjadi rakan gabungan, tetapi apakah jaminan selepas kemenangan, mereka tidak akan diketepikan?

Sebab itu persoalan calon Perdana Menteri tidak boleh dipisahkan daripada rundingan pilihan raya. Kalau kamu mahu aku membantu membentuk kerajaan, maka siapa yang akan memimpin kerajaan itu?

Kalau kamu menjadi Perdana Menteri, siapa Timbalan Perdana Menteri? Berapa banyak kementerian strategik akan diberikan kepada parti-parti yang membentuk kerajaan?

Siapa menentukan dasar? Siapa menguasai portfolio ekonomi? Siapa menjaga hal ehwal luar? Siapa mengurus keselamatan? Persoalan ini mungkin belum disebut secara terbuka kerana terlalu awal dan terlalu sensitif.

Tetapi, di belakang tabir sukar untuk membayangkan parti-parti yang serius mahu membentuk kerajaan tidak memikirkan perkara tersebut. Kerusi menentukan kekuatan. Kekuatan menentukan kuasa tawar-menawar dan kuasa tawar-menawar menentukan siapa mendapat tempat di meja kerajaan.

Dalam percaturan ini, PAS berada pada kedudukan yang menarik. Parti itu bukan lagi sekadar salah satu komponen dalam formula politik Melayu. Keputusan PRU15 menjadikan PAS antara parti dengan jumlah kerusi Parlimen terbesar.

Maka, jika PAS diajak bekerjasama oleh mana-mana pihak, persoalannya bukan sekadar berapa kerusi yang akan diberikan. PAS tentunya perlu melihat gambaran yang lebih besar.

Jika sokongan PAS diperlukan untuk membentuk kerajaan, maka apakah kedudukan PAS selepas kerajaan terbentuk? Jika seorang pemimpin daripada parti lain menjadi Perdana Menteri, adakah PAS sekadar diberikan beberapa kementerian? Atau adakah PAS mempunyai tuntutan politik yang lebih besar?

Inilah sebabnya rundingan BN-PAS, misalnya, tidak boleh dilihat hanya sebagai rundingan pembahagian kerusi. Ia juga merupakan rundingan mengenai masa depan kuasa politik Melayu dan bentuk kerajaan selepas PRU16.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *