SPRM, KPKM Wajar Jelaskan Status Siasatan Pegawai Kanan KADA

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) wajar memberikan penjelasan mengenai status siasatan yang pernah melibatkan beberapa pegawai kanan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Gesaan itu dibuat Presiden Malaysia Corruption Watch (MCW), Jais Abdul Karim susulan rekod awam dan laporan media yang menunjukkan beberapa pegawai kanan KADA pernah ditahan dan direman bagi membantu siasatan SPRM sekitar April dan Mei 2024.

Menurut beliau, MCW menghormati prinsip seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya dan menegaskan penahanan, reman atau siasatan tidak bermakna seseorang telah melakukan kesalahan.

“Namun, setelah lebih dua tahun berlalu, timbul persoalan berkepentingan awam mengenai status sebenar siasatan berkenaan serta keputusan yang telah dibuat oleh institusi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Beliau berkata, SPRM juga diharapkan dapat menjelaskan sama ada kertas siasatan berkenaan telah diselesaikan, dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya, diarahkan untuk siasatan lanjut, diputuskan tiada tindakan lanjut atau masih dalam pertimbangan.

Dalam pada itu, MCW berpandangan KPKM dan KADA sewajarnya menjelaskan aspek tadbir urus berkaitan proses yang membolehkan pegawai yang pernah dikaitkan dengan siasatan tersebut kembali menjalankan tugas.

“MCW tidak mempersoalkan hak mana-mana individu untuk dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Yang dipersoalkan ialah status proses, apakah hasil siasatan yang telah dijalankan dan apakah keputusan institusi berkaitan?” soalnya.

Jais berkata, MCW turut menerima beberapa maklumat mengenai dakwaan salah laku dan kemungkinan berlaku campur tangan oleh pihak tertentu.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya tidak akan mengangkat khabar angin menjadi fakta.

“Setakat ini, MCW belum mempunyai bukti bebas yang mencukupi untuk mengesahkan dakwaan mengenai jumlah kes tertentu ataupun dakwaan mana-mana parti politik atau individu telah menghalang proses penyiasatan atau pendakwaan,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya terdapat bukti mengenai campur tangan terhadap proses penguatkuasaan, perkara itu merupakan isu serius dan perlu disiasat secara bebas.

Bagaimanapun, katanya, tuduhan sedemikian tidak wajar dibuat hanya berdasarkan andaian atau khabar angin.

MCW turut menyeru SPRM, Jabatan Peguam Negara, KPKM dan KADA memberikan penjelasan yang boleh dikongsi dengan masyarakat tanpa menjejaskan kerahsiaan mana-mana siasatan.

“Ketelusan mengenai status sesuatu siasatan bukan sahaja penting untuk kepentingan awam, malah penting bagi melindungi reputasi individu yang pernah disiasat sekiranya mereka sebenarnya telah dibersihkan daripada sebarang salah laku,” katanya.

MCW, katanya, akan terus mengikuti perkembangan perkara berkenaan serta menilai sebarang maklumat dan dokumen yang diterima secara objektif.

“Perjuangan menentang rasuah mesti berasaskan bukti, keberanian dan keadilan, bukan khabar angin atau kepentingan politik,” katanya.

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *