Tulang Rapuh di Usia Muda: Ancaman Senyap Generasi Moden

Oleh: Dr. Amira Raudhah Abdullah dan Dr. Nur Nabilah Abu Bakar

”JIKA tulang mempunyai akaun simpanan, usia muda ialah masa untuk membuat deposit, manakala usia tua ialah masa kita bergantung kepada simpanan tersebut”. Peak bone mass ialah ”simpanan persaraan” tulang, semakin kukuh simpanan dibina ketika muda, semakin banyak yang boleh digunakan apabila usia meningkat.

Osteoporosis atau penyakit kerapuhan tulang sering dianggap sebagai penyakit warga emas, terutamanya wanita selepas menopaus. Namun, dari perspektif perubatan, tanggapan ini semakin tidak tepat. Pakar kesihatan kini melihat peningkatan faktor risiko yang boleh menyebabkan kemerosotan kesihatan tulang berlaku lebih awal, termasuk dalam kalangan golongan muda.

Secara anatomi, tulang bukan sekadar rangka keras yang menyokong tubuh, tetapi merupakan organ hidup yang mempunyai struktur kompleks dan sentiasa mengalami perubahan.

📞 Heda: +6014-808 8897 | 💬 Iqi: +6010-924 2335

Tulang terdiri daripada dua komponen utama, iaitu tulang kortikal (cortical bone) yang padat dan membentuk bahagian luar tulang serta tulang trabekular (trabecular bone) yang berongga seperti sarang lebah di bahagian dalam. Struktur ini memberikan kombinasi kekuatan dan keringanan yang membolehkan tulang menanggung beban serta menyokong pergerakan tubuh.

Di dalam tulang terdapat sumsum tulang, saluran darah dan sel-sel tulang yang aktif. Sumsum merah berperanan dalam penghasilan sel darah, manakala sumsum kuning kaya dengan tisu adipos sebagai simpanan tenaga.

Pada masa sama sel tulang seperti osteoblas, osteoklas dan osteosit bekerjasama dalam proses pembentukan semula tulang, menyebabkan tulang sentiasa berubah dan bertindak balas terhadap aktiviti fizikal, pemakanan serta hormon.

Dari sudut fisiologi, kemuncak jisim tulang atau peak bone mass biasanya dicapai sekitar usia 25 hingga 30 tahun. Tempoh ini amat penting kerana ia menentukan ”simpanan tulang” yang akan digunakan sepanjang hayat.

📞 +6019-936 9846 (Sharifah) | 💬 WhatsApp Tempahan
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan

Jika seseorang gagal mencapai jisim tulang optimum pada usia muda akibat pemakanan tidak seimbang, kurang aktiviti fizikal atau masalah kesihatan tertentu, risiko osteoporosis pada usia yang lebih muda akan meningkat.

Dalam amalan klinikal, osteoporosis pada usia muda sering tidak menunjukkan gejala yang jelas. Kebanyakan pesakit hanya disedari mempunyai masalah apabila mengalami patah tulang akibat trauma ringan, sakit belakang kronik atau pengurangan ketinggian badan akibat keretakan mampatan vertebra.

Pakar perubatan turut memberi perhatian kepada keadaan yang dikenali sebagai osteoporosis sekunder, iaitu kehilangan jisim tulang yang berpunca daripada penyakit atau penggunaan ubat tertentu.

Antaranya termasuklah diabetes mellitus, hipertiroidisme, hiperparatiroidisme, penyakit buah pinggang kronik, penyakit radang usus, penyakit autoimun serta penggunaan ubat berasaskan steroid dalam jangka masa panjang.

Dalam kalangan wanita muda, gangguan hormon seperti ketiadaan haid atau amenorea, syndrome ovari polisistik (PCOS) tertentu, gangguan pemakanan dan kekurangan estrogen boleh menjejaskan pembentukan tulang. Bagi lelaki pula, kekurangan testosteron boleh menyumbang kepada kehilangan jisim tulang yang lebih awal.

Gaya hidup moden turut memburukkan keadaan. Ramai golongan muda menghabiskan masa yang panjang di hadapan komputer atau telefon pintar, mengurangkan aktiviti fizikal yang penting untuk merangsang pembentukan tulang.

Pada masa yang sama, pengambilan makanan ultra-proses, minuman bergula dan diet ekstrem serta rendah kalsium semakin menjadi kebiasaan di kalangan anak muda.

Dari perspektif klinikal, tanda-tanda yang perlu diberi perhatian termasuk sakit belakang yang berpanjangan, sejarah patah tulang akibat kecederaan ringan, kehilangan ketinggian badan, postur membongkok dan sejarah keluarga osteoporosis.

Individu yang mempunyai faktor risiko juga boleh menjalani penilaian ketumpatan mineral tulang menggunakan imbasan DEXA (bone density scan) apabila disarankan oleh doktor.

Pencegahan perlu bermula sejak usia muda. Pengambilan kalsium dan vitamin D yang mencukupi, aktiviti fizikal berasaskan bebanan seperti berjalan pantas, berjogging dan latihan rintangan, serta pengesanan awal faktor risiko adalah langkah penting untuk memastikan kesihatan tulang jangka panjang.

Kesimpulannya, tulang rapuh bukan lagi masalah yang berlaku pada usia tua. Dari sudut klinikal, kesihatan tulang yang terganggu pada usia muda boleh memberi kesan sepanjang hayat.

Dalam era moden yang menitikberatkan kesihatan luaran, masyarakat perlu sedar bahawa pelaburan terbaik untuk masa depan bukan sahaja otot dan penampilan, tetapi juga pada kekuatan tulang yang menjadi asas kepada setiap pergerakan dan fungsi tubuh manusia.

Dr. Amira Raudhah Abdullah adalah Pensyarah Anatomi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Dr. Nur Nabilah Abu Bakar adalah Pensyarah Fisiologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Telegram: Nasional Daily

Facebook: Nasional Daily

TikTok: NasionalDaily

Whatsapp: NasionalDaily.com

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *