KUALA LUMPUR – Pelakon Adam Corrie Lee Abdullah berkongsi rasa lega apabila restoran yang bakal dibukanya di The Curve, dekat sini, mempunyai kemudahan surau yang terletak berhampiran premis berkenaan.
Menerusi perkongsian di media sosial, Adam Corrie berkata, beliau sempat menyaksikan proses sertu di restoran berkenaan yang dijangka dibuka kepada orang ramai bulan ini.
Menurutnya, antara perkara yang menarik perhatiannya ialah lokasi surau yang tidak jauh dari restoran, sekali gus memudahkan urusan pekerja, khususnya staf lelaki yang perlu menunaikan solat Jumaat.
“Semalam saya di The Curve, tengok proses sertu restoran kami yang bakal dibuka bulan ini. Alhamdulillah, satu perkara yang buat saya lega, surau mall dekat sangat dengan restoran,” katanya.
Adam Corrie berkata, beliau turut bertanya kepada pihak pengurusan mengenai lokasi masjid bagi memastikan pekerja lelaki dapat menunaikan solat Jumaat dengan mudah.
“Rupanya dekat saja. Jalan kaki pun sampai, seberang jalan di hadapan mall,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon berkenaan mengakui matlamat utama dalam perniagaan sememangnya untuk memperoleh keuntungan, namun aspek keberkatan tidak seharusnya dilupakan.
“Bagi saya, bila kita buat bisnes, memang kita nak untung. Tapi dalam mengejar keuntungan, jangan lupa kita juga mencari keberkatan,” katanya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Menurut Adam Corrie, seseorang yang menjalankan perniagaan turut mempunyai tanggungjawab terhadap pekerja dan masyarakat di sekeliling, selain tanggungjawab kepada Tuhan.
“Kita ada tanggungjawab kepada perniagaan, kepada pekerja dan orang di sekeliling kita. Dan yang paling utama, tanggungjawab kita kepada Allah, Maha Pencipta,” katanya.
Mengakhiri perkongsian, Adam Corrie berkata, rezeki tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah keuntungan semata-mata, sebaliknya perlu disertai keberkatan dalam setiap usaha yang dilakukan.
“Rezeki bukan sekadar berapa banyak yang masuk. Semoga setiap usaha yang kita bina, ada keberkatan di dalamnya,” katanya.
Perkongsian itu turut memperlihatkan sisi lain Adam Corrie sebagai seorang usahawan yang memberi perhatian terhadap aspek kebajikan pekerja dan nilai agama dalam menguruskan perniagaan baharunya.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
