Oleh: Nurul Hassanah Khairil Mursyidi
PADANG, INDONESIA – Peningkatan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan inklusif dan pemenuhan hak kanak-kanak berkeperluan khas semakin mendapat perhatian dalam usaha membentuk masyarakat lebih prihatin dan inklusif.
Namun, golongan ini masih berhadapan pelbagai cabaran dari aspek sosial, pembelajaran dan sokongan komuniti.
Seiring dengan komitmen dalam memperkukuh semangat kesukarelawanan di peringkat antarabangsa, Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah melaksanakan aktiviti Therapeutic with A Special Need Children @ Sekolah Luar Biasa (SLB) Autis Buah Hati Ibu sempena penganjuran Global Volunteer Mission 4.0 to West Sumatra-Riau, Indonesia pada 11 Ogos di Padang, Indonesia.
Program ini memberi peluang kepada mahasiswa untuk melibatkan diri secara langsung dalam aktiviti kemasyarakatan, di samping memupuk nilai empati, tanggungjawab sosial dan keprihatinan terhadap kanak-kanak berkeperluan khas.
Pelaksanaan program ini berlandaskan beberapa objektif utama yang memfokuskan kepada pembangunan sahsiah mahasiswa, pemerkasaan kesedaran sosial serta pengukuhan jaringan kerjasama antarabangsa.
Antara objektif berjaya dicapai ialah meningkatkan kemahiran intrapersonal dan kesedaran sosial dalam kalangan mahasiswa, memperluas kesedaran serta sokongan terhadap kanak-kanak berkeperluan khas, selain memperlihatkan peranan institusi sebagai sebuah organisasi inklusif dan bertanggungjawab secara holistik.
Di samping itu, program ini turut mengeratkan hubungan kerjasama antara Kelab Prime Mover UiTM dengan komuniti di Indonesia, khususnya Sekolah Luar Biasa (SLB) Autis Buah Hati Ibu.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan mahasiswa UiTM dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui aktiviti kesukarelawanan merentas sempadan.
Seramai 25 mahasiswa bersama seorang pegawai pengiring dari UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah menyertai program ini sebagai sukarelawan.
Semua peserta melibatkan ahli Kelab Prime Mover UiTM yang memainkan peranan aktif sepanjang program berlangsung.
Menurut pengurus aktiviti, Amirul Afandi Mohd Sahha, pemilihan SLB Autis Buah Hati Ibu sebagai lokasi program adalah satu keputusan strategik bagi memberikan pendedahan secara langsung kepada mahasiswa terhadap komuniti berkeperluan khas.
Beliau berkata, penglibatan bersama komuniti itu telah menjadi ruang pembelajaran yang bermakna dalam memperkukuh kemahiran interpersonal mahasiswa, khususnya dari aspek komunikasi, interaksi sosial, kebolehsuaian serta pembentukan nilai empati dalam memahami keperluan dan perspektif individu yang berbeza.
Sementara itu, Presiden Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Negeri Sembilan merangkap Pengarah Program, Hazir Irfan Abdul Razak berkata, pembangunan mahasiswa tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik, malah turut diperkasakan melalui pengalaman pembelajaran di luar bilik kuliah.
Menurut beliau, program kesukarelawanan seperti ini menjadi medium penting dalam membentuk mahasiswa yang mempunyai kemahiran interpersonal, mampu berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat serta mengaplikasikan ilmu dan nilai diperoleh untuk memberikan manfaat kepada komuniti.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama diberikan pihak SLB Autis Buah Hati Ibu serta berharap hubungan strategik yang terjalin dapat terus diperkukuhkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kemasyarakatan pada masa akan datang.
Bagi menyokong perkembangan kognitif, motor halus, sosial dan emosi kanak-kanak berkeperluan khas, pelbagai aktiviti interaktif dan terapeutik telah dijalankan sepanjang program berlangsung.
Antaranya termasuk permainan Ting-Ting, Sorting Activity, Building Block, Shape Matching dan Joyful Handprints.
Setiap aktiviti dirancang bagi merangsang daya tumpuan, koordinasi, kreativiti, keyakinan diri serta kemahiran penyelesaian masalah melalui pendekatan pembelajaran yang menyeronokkan, selamat dan bersesuaian dengan keperluan setiap kanak-kanak.
Sepanjang pelaksanaan program, peserta menjalani sesi suai kenal bersama kanak-kanak sebelum meneruskan pelbagai aktiviti terapeutik yang memberi peluang kepada mereka untuk berinteraksi secara langsung serta membina hubungan lebih erat.
Suasana yang ceria dan mesra telah mewarnai setiap aktiviti apabila sukarelawan bersama kanak-kanak mengambil bahagian dalam pelbagai pengisian disediakan.
Program ini diakhiri dengan sesi penyampaian sumbangan, sesi bergambar serta persembahan penutup daripada pihak SLB Autis Buah Hati Ibu sebagai simbol penghargaan terhadap jalinan kerjasama yang telah terjalin.
Secara keseluruhannya, program Global Volunteer Mission to West Sumatra-Riau telah membuktikan komitmen mahasiswa Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Negeri Sembilan dalam memperkasakan aktiviti kesukarelawanan di peringkat antarabangsa.
Selain memperkukuh semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta, program ini turut menyumbang kepada perkembangan holistik kanak-kanak berkeperluan khas melalui pelaksanaan aktiviti pendidikan dan terapeutik yang bersesuaian.
Penganjuran program ini juga telah mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dengan komuniti antarabangsa, sekali gus mencerminkan usaha berterusan dalam membina masyarakat yang lebih inklusif dan prihatin.
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Global Volunteer Mission to West Sumatra-Riau, Indonesia, Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban.
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
