Oleh: Bazli Razak
TANJONG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan buat julung kalinya dalam Kejohanan International University Sailing Championship (UNISAIL) 2026 yang berlangsung di Pulau Duyong, Terengganu.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, pasukan pelayaran UPSI menampilkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan dengan menewaskan beberapa pasukan universiti ternama dan berpengalaman dari dalam serta luar negara untuk merangkul gelaran juara keseluruhan.
Dr. Md Amin berkata, UPSI mengesahkan kejuaraan selepas mengumpul 26 mata, sekali gus mengatasi cabaran sengit pasukan tuan rumah, Malaysia University Sailing Team dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang muncul naib juara dengan 24 mata manakala wakil Singapura, Team NUS dari National University of Singapore (NUS) menduduki tempat ketiga dengan 22 mata.

“Kejayaan julung kali ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan menjadi bukti jelas bahawa atlet UPSI mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pasukan antarabangsa yang jauh lebih berpengalaman.
“Disiplin yang tinggi, percaturan strategi yang berkesan serta semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh pasukan UPSI wajar dijadikan teladan. Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama UPSI, malah membuktikan bahawa ‘Impossible Is Nothing’ apabila kita berusaha dengan gigih,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan UPSI mempamerkan prestasi yang konsisten sejak peringkat kelayakan apabila menjuarai Kumpulan B dengan kutipan 14 mata hasil empat mata dalam perlumbaan pertama dan kedua serta tiga mata bagi perlumbaan ketiga dan keempat.

Menurutnya, momentum cemerlang itu diteruskan pada peringkat akhir apabila pasukan UPSI berjaya menambah kutipan mata menerusi persembahan bertenaga dengan memperoleh enam mata dalam perlumbaan pertama, lapan mata dalam perlumbaan kedua serta masing-masing enam mata dalam perlumbaan ketiga dan keempat.
“Kejayaan ini juga membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah berupaya melahirkan atlet yang kompetitif di pentas antarabangsa melalui pembangunan bakat dan latihan yang berterusan,” katanya.

Kejohanan antarabangsa anjuran UMT itu menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara termasuk Singapura dan Taiwan, sekali gus meletakkan UPSI sebagai antara pencabar baharu yang disegani dalam arena sukan pelayaran universiti.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
