TEHERAN – Iran memperkenalkan versi baharu dron kamikaze Hadid 110 yang didakwa lebih pantas, sukar dikesan radar dan mampu menembusi sistem pertahanan udara Amerika Syarikat (AS), sekali gus meningkatkan ancaman terhadap aset ketenteraan Washington di Asia Barat.
Menurut laporan The Telegraph, dron berkuasa enjin jet itu digunakan buat kali pertama dalam tempoh dua minggu lalu untuk menyerang pangkalan tentera dan kapal perang AS di rantau berkenaan.
“Pasukan Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mendakwa Hadid 110 versi baharu merupakan antara sistem persenjataan paling canggih yang dibangunkan negara itu.
Berbanding kebanyakan dron serangan Iran yang menggunakan kipas dan bergerak pada kelajuan rendah, Hadid 110 dilengkapi enjin turbojet yang membolehkannya mencapai kelajuan melebihi 508 kilometer sejam (km/j), sekali gus menjadikannya dron terpantas pernah dihasilkan Iran.
Dron itu dilancarkan menggunakan penggalak bahan api pepejal sebelum enjin jet diaktifkan ketika berada di udara, membolehkan ia dikerahkan dengan pantas ke kawasan operasi.
Kelajuan tinggi dron itu memberi kelebihan taktikal kerana sistem pertahanan udara mempunyai masa yang jauh lebih singkat untuk mengesan, menjejak dan memintas sasaran.
Selain itu, reka bentuk badan dron tanpa sambungan skru yang ketara, saluran masuk udara berbentuk S serta penggunaan bahan penyerap gelombang radar menjadikannya lebih sukar dikesan.
Hadid 110 membawa kepala peledak seberat 30 kilogram, mempunyai jarak serangan sekitar 354 kilometer dan mampu berada di udara selama kira-kira sejam.
Keupayaan itu membolehkannya memusnahkan sasaran penting berhampiran pesisir Iran, namun ia bukan senjata strategik jarak jauh.
Iran mendakwa dron tersebut dibangunkan sepenuhnya menggunakan teknologi tempatan, walaupun terdapat dakwaan bahawa Teheran menerima bantuan teknologi daripada China dan Rusia.
Penganalisis berpandangan pembangunan Hadid 110 bukan sekadar meningkatkan keupayaan ketenteraan Iran, malah mengukuhkan pengaruh IRGC dalam struktur pertahanan negara.
Ketika ini, program peluru berpandu balistik dan dron Iran dikendalikan oleh IRGC, bukannya tentera konvensional.
Setiap peningkatan keupayaan persenjataan memberi lebih banyak pengaruh kepada IRGC dalam menentukan dasar keselamatan dan ketenteraan negara.
Perkembangan itu menjadi lebih ketara selepas kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada awal konflik, manakala penggantinya, Mojtaba Khamenei, masih belum muncul di khalayak umum.
Pendedahan Hadid 110 berlaku ketika konflik Iran-AS memasuki fasa yang lebih tenang selepas kedua-dua pihak menghentikan serangan tanpa sebarang pengumuman rasmi mengenai gencatan senjata.
Namun, keadaan masih rapuh apabila Iran terus menutup Selat Hormuz dan berikrar akan memperluaskan konflik jika perlu.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei menegaskan, Teheran tidak akan membenarkan AS menentukan bila perang bermula atau berakhir.
“Kami tidak akan membenarkan Amerika menentukan masa perang dan keamanan. Iran akan mempertahankan diri selama mana diperlukan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan Iran dan Oman sedang berbincang mengenai pengurusan perkapalan di Selat Hormuz tanpa penglibatan AS, sementara laluan strategik itu kekal ditutup atas alasan ancaman keselamatan yang berpunca daripada tindakan Washington.
Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump berkata, penghentian sementara serangan bertujuan memberi ruang kepada rundingan disambung semula.
Laporan itu turut mendakwa AS kini berdepan kekurangan peluru berpandu pemintas, iaitu sistem utama yang diperlukan untuk menangkis ancaman dron kamikaze seperti Hadid 110. – Agensi
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001