GLASGOW: Kejayaan atlet angkat berat Muhammad Erry Hidayat menghadiahkan pingat emas ketiga negara serta kemaraan dua wakil boling padang ke final menyerikan kempen kontinjen Malaysia pada hari keempat Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Erry mencuri tumpuan apabila menjuarai kategori 79 kilogram lelaki dengan jumlah angkatan 331kg, sekali gus meraih emas sulungnya di pentas Sukan Komanwel selepas memenangi perak dalam kategori 73kg di Birmingham 2022.
Atlet berusia 26 tahun itu melakukan angkatan 147kg dalam snatch dan 184kg dalam clean and jerk, dengan catatan clean and jerk serta jumlah keseluruhan memecahkan rekod temasya pada aksi di Scottish Event Campus Armadillo.
Kejayaan itu turut menyaksikan Erry mengikut jejak bapanya, Hidayat Hamidon yang memenangi emas angkat berat pada Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998.
Pingat emas Erry adalah yang ketiga buat kontinjen negara selepas Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin masing-masing mengungguli kategori 60kg dan 65kg lelaki.
Di SEC, kem boling padang pula menghadiahkan khabar gembira apabila pemain perseorangan lelaki Izzat Shameer Dzulkeple dan gandingan pairs wanita Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman masing-masing mengesahkan tempat ke final.
Izzat Shameer akan bertemu wakil England, Sam Tolchard manakala Aleena-Syafiqa turut berdepan pasangan England, Amy Pharaoh-Sian Honnor pada final awal pagi esok.
Sementara itu, dalam acara bola keranjang 3×3 lelaki, skuad negara mencipta sejarah mara ke suku akhir pada penampilan sulung mereka di temasya Sukan Komanwel selepas menamatkan saingan Kumpulan B di tempat kedua.
Malaysia yang dibarisi Chang Zi Fueng, Chong Zhen Yang, Ting Chun Hong dan Ooi Xian Fu menewaskan Jamaica 21-15 dalam aksi terakhir kumpulan selepas mencatat kemenangan ke atas Fiji, Kenya dan Singapura, selain tewas tipis 19-21 kepada juara bertahan, England.
Skuad negara akan bertemu tuan rumah Scotland pada suku akhir, dengan pemenang dijadual berdepan Australia pada separuh akhir.
Di kolam renang, perenang para Abdul Halim Mohamad menamatkan final 100 meter kuak dada lelaki SB9 di tempat keenam selepas mencatat masa satu minit 16.41 saat.
Tumpuan hari ini terarah kepada jaguh lompat jauh para negara, Datuk Abdul Latif Romly yang akan beraksi dalam acara lompat jauh T20 lelaki, selain dua final membabitkan atlet boling padang yang berpeluang memastikan Malaysia mencapai sasaran lima pingat emas yang ditetapkan sebelum temasya.
Malaysia kini mengumpul tiga pingat emas dan dua gangsa untuk menghuni tangga ketujuh carta pungutan pingat.
Juara bertahan Australia kekal mendahului dengan 26 emas, 13 perak dan 20 gangsa, diikuti England di tempat kedua (8-13-11) dan Kanada di tempat ketiga (7-8-6). – BERNAMA
Telegram: Nasional Daily
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001