Rafizi Akui BERSAMA Gagal Capai Sasaran PRN Johor, Janji Perkukuh Parti Selepas Kekalahan

JOHOR BAHRU Presiden Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui parti itu gagal mencapai sasaran yang ditetapkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 selepas semua calon yang ditampilkan dijangka kehilangan wang deposit.

Dalam kenyataan sejurus selepas keputusan awal pilihan raya diperoleh, Rafizi berkata analisis awal berdasarkan Borang 14 yang diterima di bilik gerakan parti menunjukkan calon-calon BERSAMA hanya memperoleh purata antara tiga hingga enam peratus undi di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.

Menurut beliau, pencapaian tersebut bukan sahaja gagal melepasi sasaran minimum 15 peratus undi yang ditetapkan parti, malah tidak mencapai syarat memperoleh sekurang-kurangnya 12.5 peratus undi bagi mengelakkan kehilangan wang deposit.

“Walaupun keputusan rasmi belum diumumkan bagi semua kerusi, Bilik Kempen BERSAMA telah menerima sebahagian Borang 14 daripada saluran di kesemua 15 kerusi yang ditandingi.

“Maklumat setakat ini menunjukkan calon-calon BERSAMA memperoleh secara purata antara tiga hingga enam peratus undi, sekali gus bermakna kesemua calon dijangka kehilangan deposit,” katanya.

Rafizi berkata, parti itu menerima keputusan tersebut dengan terbuka dan akan menjadikannya sebagai asas untuk menilai semula strategi politik serta pendekatan yang digunakan dalam usaha membina sokongan rakyat.

Beliau berkata, penelitian menyeluruh terhadap corak pengundian akan dilakukan bagi mengenal pasti kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi pilihan raya akan datang.

Menurutnya, walaupun keputusan kali ini tidak memihak kepada BERSAMA, pengalaman berkempen dalam pilihan raya pertama parti itu merupakan proses pembelajaran yang amat berharga.

“Di pihak BERSAMA, kami akan memperhalusi keputusan pengundian untuk menambah baik pendekatan dalam memenangi hati pengundi pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas corak pengundian, Rafizi berpandangan bahawa berlaku perubahan ketara dalam sokongan pengundi yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, berdasarkan analisis awal parti, peningkatan sokongan terhadap BN berlaku merentasi pelbagai kumpulan pengundi tanpa mengira umur mahupun latar belakang kaum.

“Analisis awal menunjukkan terdapat peralihan undi yang ketara kepada BN daripada semua segmen pengundi mengikut umur dan kaum.

“Semua calon daripada parti-parti lain, sama ada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), BERSAMA mahupun MUDA turut terkesan dengan peralihan sokongan ini,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa trend tersebut menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada prestasi kurang memberangsangkan parti-parti selain BN dalam PRN Johor kali ini.

Dalam pada itu, Rafizi merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi yang memberikan sokongan kepada BERSAMA walaupun parti tersebut baru ditubuhkan dan masih berada pada peringkat awal pembinaan organisasi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua calon, ahli, sukarelawan dan penyokong yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepada calon-calon BERSAMA dalam usia parti ini yang begitu muda.

“Penghargaan tertinggi juga kepada semua calon, ahli, sukarelawan dan penyokong yang setia membantu kempen sepanjang PRN Johor 2026,” katanya.

Menurut Rafizi, satu majlis penghargaan kepada jentera parti akan diadakan dalam masa terdekat di ibu pejabat baharu BERSAMA sebaik sahaja premis tersebut siap digunakan dalam tempoh kira-kira dua minggu.

Beliau menegaskan bahawa kekalahan pada pilihan raya sulung parti itu tidak akan mematahkan semangat kepimpinan dan ahli-ahlinya untuk terus membina kekuatan organisasi.

Sebaliknya, pengalaman sepanjang kempen PRN Johor akan dijadikan asas untuk memperkukuhkan parti yang ketika ini baru berusia 52 hari.

“Walaupun keputusan PRN Johor tidak berpihak kepada BERSAMA, pengalaman berkempen ini akan membantu membina sebuah parti yang masih sangat muda.

“Insya-Allah, kami akan terus berusaha dan berharap suatu hari nanti rakyat Malaysia bersedia menerima BERSAMA sebagai satu lagi pilihan dalam landskap politik negara,” katanya.

PRN Johor 2026 merupakan pilihan raya pertama disertai BERSAMA selepas parti itu dijenamakan semula di bawah kepimpinan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad, dengan mempertaruhkan 15 calon sebagai langkah awal memperkenalkan parti tersebut kepada pengundi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *