Oleh NurFarhana Zulkeply
BATU PAHAT – Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit supaya memberikan mandat kepada PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membawa perubahan dan menyelesaikan pelbagai isu rakyat.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata beliau bersama calon PH DUN Rengit, Mohamad Yazid, turun bertemu masyarakat Orang Asli dan penduduk setempat bagi mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi mereka.
Menurut beliau, kehadiran masyarakat Orang Asli pada program itu membuktikan mereka tetap berani menyuarakan pendirian walaupun didakwa berdepan ugutan terhadap Tok Batin dan penduduk di kawasan berkenaan.
Katanya, beliau turut menerima pelbagai aduan daripada penduduk, khususnya berkaitan kemudahan asas yang masih belum memuaskan, termasuk isu bekalan air yang didakwa masih gagal diselesaikan oleh kerajaan negeri.
Anwar berkata keadaan itu menunjukkan perlunya perubahan dalam pentadbiran negeri supaya masalah yang telah lama membelenggu rakyat dapat ditangani dengan lebih berkesan.
Beliau turut menegaskan PH bersedia memikul amanah mentadbir Johor dengan berpandukan rekod pentadbiran kerajaan Persekutuan yang menurutnya berjaya menyelesaikan pelbagai isu rakyat serta melaksanakan projek-projek yang sebelum ini tertangguh.
Sehubungan itu, beliau mengajak pengundi di Rengit dan seluruh Johor memberikan sokongan kepada PH pada hari pengundian bagi membolehkan gabungan itu meneruskan agenda pembangunan yang lebih adil dan inklusif demi kesejahteraan rakyat.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L