Sultan Selangor Kekalkan Ketetapan, Surau Pusat Beli-Belah Tidak Dibenar Anjur Solat Jumaat

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak memperkenankan mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri ini diberikan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat, meskipun terdapat cadangan di peringkat Persekutuan untuk memperluaskan kemudahan berkenaan di seluruh negara.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan kuasa prerogatif baginda selaku Ketua Agama Islam Selangor yang mempunyai bidang kuasa menentukan segala hal berkaitan pentadbiran agama Islam di negeri ini, termasuk pemberian kebenaran mendirikan solat Jumaat di masjid, surau atau musolla.

Menurut beliau, MAIS mengambil maklum cadangan yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berhubung usaha mewujudkan surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat di pusat beli-belah seluruh negara.

Bagaimanapun, katanya, sebarang pelaksanaan di Selangor perlu mematuhi undang-undang negeri yang sedang berkuat kuasa.

“Penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid, surau atau musolla adalah tertakluk kepada kebenaran bertulis daripada MAIS mengikut Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“Sehubungan itu, MAIS dimaklumkan buat masa ini Sultan Selangor tidak memperkenankan mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri ini diberikan kebenaran untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketetapan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor yang telah diperhalusi sebelum ini, termasuk usaha berterusan untuk memastikan institusi masjid terus berfungsi sebagai pusat ibadah utama umat Islam.

Menurutnya, sekiranya surau atau musolla di pusat beli-belah dibenarkan mengadakan solat Jumaat, ia dikhuatiri akan mengurangkan kehadiran jemaah di masjid dan surau yang telah diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat kerana orang ramai mempunyai pilihan lain yang lebih mudah.

Katanya, ketika ini Selangor mempunyai sebanyak 448 masjid dan 379 surau yang telah diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat, dan jumlah itu disifatkan mencukupi bagi menampung keperluan umat Islam di seluruh negeri.

“Malah, kebanyakan pusat beli-belah juga terletak berhampiran masjid atau surau yang telah dibenarkan mengadakan solat Jumaat, sekali gus memudahkan pekerja dan pengunjung menunaikan ibadah berkenaan,” katanya.

Salehuddin berkata, solat Jumaat merupakan syiar Islam yang mempunyai kedudukan tinggi dan sewajarnya dilaksanakan di masjid atau surau yang dikhususkan sebagai tempat ibadah, berbanding surau atau musolla di pusat beli-belah yang lazimnya berada dalam persekitaran aktiviti perniagaan, hiburan dan rekreasi.

Beliau turut menjelaskan tempoh rehat yang diperuntukkan kepada kebanyakan pekerja adalah mencukupi untuk membolehkan mereka menunaikan solat Jumaat di masjid atau surau berhampiran.

Selain itu, katanya, pemberian kebenaran kepada surau atau musolla di pusat beli-belah untuk mengadakan solat Jumaat juga memerlukan pengurusan yang lebih teratur, termasuk aspek pelantikan imam, bilal serta petugas yang perlu mendapat kelulusan dan pemantauan daripada MAIS.

“Jika petugas surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat tidak dilantik oleh MAIS, ia akan menyukarkan aspek pemantauan, kawalan serta memastikan keseragaman penyampaian khutbah Jumaat yang disediakan oleh MAIS,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan hanya sebuah surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor kini diberikan kebenaran sementara untuk mendirikan solat Jumaat kerana tiada masjid berhampiran lokasi tersebut.

Katanya, kebenaran sementara itu akan ditarik balik apabila sebuah masjid dibina berhampiran dan mampu memenuhi keperluan penduduk Islam di kawasan berkenaan.

Menurut Salehuddin, ketetapan yang dibuat Sultan Selangor itu adalah selaras dengan usaha memperkukuhkan fungsi masjid sebagai pusat utama ibadah, penyebaran ilmu, dakwah serta penyatuan umat Islam.

Beliau turut menyeru umat Islam di Selangor agar terus mengimarahkan masjid dan surau yang telah disediakan supaya institusi tersebut kekal menjadi pusat perpaduan, pembangunan rohani dan pengukuhan syiar Islam di negeri ini.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *