Oleh: Abd. Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Kira-kira 100 kilogram durian disediakan kepada anak mukim dalam satu program Jamuan Pulut Durian yang berlangsung di Masjid Mukim Gual To’ Deh, dekat sini, semalam.
Program julung kali diadakan sempena musim durian itu bukan sahaja menghidangkan raja buah kepada penduduk, malah menjadi wadah mengimarahkan masjid, mengeratkan silaturahim serta menarik lebih ramai golongan muda mendekati institusi masjid.
Imam Tua Masjid Mukim Gual To’ Deh, Aiman Shaari berkata, sebelum jamuan bermula, beliau terlebih dahulu menyampaikan kuliah Maghrib yang dihadiri jemaah sebagai pengisian rohani sebelum mereka menunaikan solat Isyak secara berjemaah.
Menurut beliau, penganjuran program itu bertujuan menghidupkan peranan masjid bukan sekadar sebagai tempat beribadah, malah sebagai pusat penyatuan masyarakat melalui aktiviti kemasyarakatan yang bermanfaat.
“Apabila program seperti ini diadakan, penduduk tanpa mengira usia dapat berkumpul dalam suasana mesra. Golongan belia juga lebih terdorong untuk hadir ke masjid, mengikuti kuliah agama, menunaikan solat berjemaah dan seterusnya mengeratkan hubungan sesama masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila penduduk memenuhi ruang masjid untuk menikmati pulut durian bersama-sama selepas selesai solat Isyak.
Katanya, program tersebut membuktikan aktiviti santai yang diselitkan dengan pengisian agama mampu menarik minat masyarakat, khususnya generasi muda, untuk mendekati masjid.
Beliau berharap jamuan seumpama itu dapat dijadikan acara tahunan pada setiap musim durian dengan penglibatan lebih ramai penduduk serta sokongan pelbagai pihak.
“Semoga usaha kecil ini dapat menyemarakkan budaya hadir ke masjid, memupuk semangat kejiranan dan mengukuhkan ukhwah Islamiah dalam kalangan anak mukim,” katanya lagi.
Program itu berakhir dalam suasana penuh harmoni apabila para jemaah menikmati pulut durian sambil beramah mesra, sekali gus memperlihatkan masjid terus berperanan sebagai institusi yang menyatukan masyarakat melalui pendekatan yang dekat dengan kehidupan seharian.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L