LEDANG – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berpandangan keputusan bekas pemimpin UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi, menyatakan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit lebih didorong faktor kekecewaan peribadi berbanding keyakinan terhadap calon yang ditampilkan gabungan itu.
Khairy berkata, Puad berhak menentukan pendirian politiknya kerana beliau bukan lagi ahli UMNO dan tidak lagi tertakluk kepada disiplin parti.
Menurutnya, dalam sistem demokrasi setiap individu bebas membuat pilihan politik, termasuk menyokong mana-mana calon yang difikirkan layak, tanpa boleh dihalang oleh mana-mana pihak.
“Beliau bebas menyokong sesiapa sahaja. Dia bukan lagi ahli UMNO, jadi dia tidak terikat dengan disiplin parti. Itu hak beliau dan kita tidak boleh menghalangnya.
“Tetapi pada pandangan saya, sokongan itu bukan kerana beliau benar-benar yakin dengan PH atau calon yang ditampilkan. Saya melihat ia lebih kepada rasa kecewa yang sedang beliau lalui,” katanya ketika ditemui media selepas membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Ledang.
Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Puad yang secara terbuka mengumumkan sokongan kepada calon PH bagi kerusi DUN Rengit, Mohamad Yazid Bakri.
Mengulas lanjut, Khairy mempertahankan keputusan BN mencalonkan Zaidi Japar untuk mempertahankan kerusi berkenaan dengan menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang mempunyai rekod perkhidmatan baik serta dikenali masyarakat setempat.
Katanya, sepanjang mengenali Zaidi, calon itu sentiasa aktif turun padang, mudah didekati penduduk dan konsisten membantu masyarakat tanpa mengira musim pilihan raya.
“Saya sendiri turun ke Rengit dan sudah lama mengenali Zaidi. Pada saya, beliau seorang yang rajin bekerja, sentiasa bersama masyarakat dan mempunyai rekod perkhidmatan yang baik. Sebab itu saya berpendapat beliau calon terbaik untuk mewakili BN di kawasan ini,” katanya.
Khairy turut berpandangan tindakan Puad tidak seharusnya dijadikan ukuran terhadap sentimen keseluruhan penyokong UMNO atau BN kerana keputusan itu dibuat atas pendirian peribadi selepas beliau tidak lagi bersama parti.
Beliau percaya ahli dan penyokong BN mampu membuat penilaian sendiri berdasarkan prestasi calon serta rekod pentadbiran kerajaan negeri, bukannya dipengaruhi sokongan individu tertentu.
Terdahulu, Puad yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengumumkan sokongan terbuka kepada calon PH, Mohamad Yazid Bakri, bagi kerusi DUN Rengit.
Menerusi hantaran di Facebook, Puad menjelaskan beliau kini tidak menganggotai mana-mana parti politik dan memilih calon berdasarkan keperibadian serta kemampuan individu berkenaan untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan semata-mata parti yang diwakili.
Kerusi DUN Rengit menyaksikan persaingan tiga penjuru membabitkan Zaidi Japar mewakili BN, Mohamad Yazid Bakri daripada PH dan Syed Mohamad Syed Alwi yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Pertembungan di kerusi itu turut mendapat perhatian kerana melibatkan sokongan terbuka seorang bekas pemimpin kanan UMNO kepada calon parti lawan, sekali gus menambahkan warna dalam kempen PRN Johor yang kini memasuki fasa lebih sengit menjelang hari pengundian.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L