Oleh: Abd. Ghaffar Daud
RANTAU PANJANG – Guru boleh bersara daripada perkhidmatan, tetapi semangat untuk berbakti kepada masyarakat tidak pernah bersara.
Demikian luahan Cikgu Che Norazam Noordin yang menamatkan perkhidmatannya sebagai pendidik selepas lebih 35 tahun menabur bakti dalam dunia pendidikan, sekali gus mengakhiri kerjayanya di Maahad Muhammadi Rantau Panjang (MMRP) di sini, hari ini.
Beliau dilahirkan pada 5 Julai 1966 di Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu, Kelantan, Che Norazam dibesarkan dalam keluarga pendidik yang menjadikan ilmu sebagai asas kehidupan.
Minat yang mendalam terhadap pendidikan membawanya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya, diikuti Diploma Linguistik Berkomputer di Universiti Keio, Tokyo, Jepun serta latihan perguruan di Institut Bahasa Lembah Pantai.
Beliau memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1991 di Sekolah Menengah Agama Al-Falah, Kemaman sebelum berkhidmat di beberapa sekolah di Terengganu.
Pada tahun 2020, beliau kembali ke Kelantan dan meneruskan perkhidmatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jias, SMK Kampung Dangar, Maahad Muhammadi Pasir Mas sebelum menamatkan kerjayanya di MMRP.

“Saya amat bersyukur kerana Allah SWT memberi peluang kepada saya mendidik anak bangsa selama lebih tiga dekad. Setiap pelajar yang pernah saya didik adalah amanah yang cukup besar. Jika ada kejayaan yang mereka kecapi hari ini, itulah hadiah paling bermakna buat saya,” katanya.
Sepanjang perkhidmatan, beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) selain aktif dalam kepimpinan Kadet Polis sehingga menyandang beberapa jawatan penting di peringkat negeri.
Beliau turut mencipta nama dalam bidang penulisan, kewartawanan, motivasi, pembangunan insan serta pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu.
Menurut beliau, persaraan bukan noktah kepada perjuangan, sebaliknya membuka ruang untuk terus menyumbang kepada masyarakat melalui pengurusan syarikat landskap, program motivasi dan pembangunan insan, selain merealisasikan hasrat membuka sebuah firma guaman.
“Selagi diberi kesihatan dan kesempatan, saya akan terus berbakti. Bagi saya, ilmu dan pengalaman tidak harus terhenti hanya kerana persaraan,”katanya.
Beliau turut berpesan kepada warga pendidik supaya sentiasa mengajar dengan penuh keikhlasan.
“Didiklah anak-anak dengan hati. Ilmu mungkin dilupakan, tetapi kasih sayang, bimbingan dan akhlak seorang guru akan kekal dalam ingatan mereka sepanjang hayat,”katanya lagi.
Majlis persaraan beliau berlangsung dalam suasana penuh penghargaan dan menyentuh hati apabila warga sekolah, bekas rakan sekerja serta para pelajar menzahirkan rasa terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan dedikasi beliau sepanjang lebih 35 tahun mendidik anak bangsa.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L