Puluhan Ribu Keluarga di Venezuela Perlukan Bantuan Segera

KUALA LUMPUR – Gempa bumi berkekuatan 7.2 dan 7.5 magnitud yang menggegar Venezuela pada 24 Jun lalu mencetuskan krisis kemanusiaan besar dengan angka korban yang semakin meningkat.

Presiden Perhimpunan Kebangsaan Venezuela, Jorge Rodríguez memaklumkan, sekurang-kurangnya 2,295 orang telah terkorban, manakala lebih 11,000 lagi cedera.

Bencana ini turut menyebabkan sekitar 15,866 penduduk kehilangan tempat tinggal.

Pada masa sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 50,000 orang masih hilang,

Sistem Kesihatan Venezuela kini menjadi sektor kedua paling kritikal, di mana 38 hospital di seluruh negara rosak atau terjejas, tiga tidak beroperasi, enam berfungsi separa, manakala 91 hospital lagi berada di kawasan berisiko gegaran kuat.

Selain itu, 432 sekolah di Wilayah Ibu Kota di Caracas telah rosak dan jumlah sebenar dijangka lebih tinggi.

Sejak awal bencana, Islamic Relief telah berada di Venezuela bagi menjalankan penilaian dan mengagihkan bantuan awal kepada penduduk terjejas.

Menurut salah seorang ahli pasukan tindak balas kecemasan Islamic Relief, Omar Khalifa, terlalu banyak keluarga kini terpaksa bermalam di kawasan terbuka di tepi jalan.

“Puluhan ribu keluarga yang terselamat kehilangan tempat tinggal dan mereka amat memerlukan bantuan seperti makanan, ubat-ubatan dan tempat perlindungan.

“Keadaan di beberapa pusat pemindahan amat huru-hara. Ramai mangsa berada dalam keadaan tertekan sambil mencari ahli keluarga yang masih hilang. Mereka tidak tahu sama ada insan tersayang masih hidup atau telah terkorban. Mereka tidak tahu sama ada perlu terus berharap atau mula menerima kehilangan itu.

“Keluarga-keluarga kini berlindung di khemah-khemah serba sederhana sambil memikirkan keadaan seterusnya dan bagaimana untuk mendapatkan bantuan. Ramai kanak-kanak jatuh sakit dan tidak tahu ke mana harus mendapatkan rawatan,” katanya.

Usaha luar biasa sedang giat dijalankan oleh pasukan sukarelawan tempatan, yang merupakan rakan kerjasama Islamic Relief, bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Namun, skala keperluan ketika ini amat besar dan mendesak, sekali gus memerlukan sokongan yang lebih meluas dan berterusan.

“Tahap kemusnahan yang berlaku sukar dibayangkan. Kami baru sahaja pulang dari sebuah bangunan yang runtuh sepenuhnya sehingga silingnya menjadi lantai. Gegaran susulan masih berlaku.

“Malah, beberapa sukarelawan yang bekerjasama dengan kami terpaksa mengosongkan bangunan kerana salah satu gegaran susulan itu sangat kuat. Setiap gegaran susulan menambah lagi tekanan dan trauma yang dialami oleh mangsa,” tambah Omar.

Islamic Relief kini bekerjasama dengan beberapa rakan NGO tempatan untuk menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, termasuk pek makanan, kit kebersihan, pakaian, tilam, air minuman bersih dan bekalan perubatan kepada penduduk terjejas.

Setiap pek bantuan mengandungi keperluan asas seperti minyak masak, makanan dalam tin (daging dan tuna), susu tepung, tuala wanita, berus gigi, ubat gigi dan tisu tandas. Setiap keluarga menerima bekalan awal yang dijangka mencukupi untuk tempoh satu minggu.

Terkini, Islamic Relief telah mengunjungi sebuah pusat perlindungan di Caracas yang menempatkan 4,000 orang bagi menjalankan penilaian keperluan serta meninjau usaha penyelarasan bantuan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *